‘Pakar ekonomi’ gagal jangka kesan domino?





‘Pakar ekonomi’ gagal jangka kesan domino?
June 13, 2024

Share

AYER KEROH: ‘Pakar-pakar ekonomi’ pro-Kerajaan Madani yang lantang mempertahankan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi diesel, rupanya gagal menjangka kesan domino akibat daripada pelaksanaan tersebut.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hawa Yaakub berkata, hakikatnya, seawal 10 Jun, notis-notis kenaikan harga barangan dan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat terbabit mula bertebaran di media sosial.

“Amat menghairankan apabila ‘pakar-pakar’, penyokong-penyokong, cybertrooper dan media di bawah kawalan Kerajaan Madani ini gagal menjangka dan mengenalpasti kesan-kesan yang telah dan bakal terjadi rentetan kenaikan harga diesel yang bukan sedikit ini.

“Rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikan harga barang akibat kemerosotan nilai Ringgit (ingat kata-kata ini: “Kenapa Ringgit jatuh? Ringgit jatuh kerana hang tak pandai jaga negeri!”) akan lebih terbeban dengan kenaikan harga bahan api, khususnya diesel,” ujar beliau.

Malah menurut Hawa, kenaikan diesel tersebut menjangkau sehingga 56 peratus, satu angka amat besar dan mustahil tidak memberi impak yang juga besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tak perlu kaji jauh-jauh. Tak perlu tanya pakar ekonomi atau pakar memasak sama ada diesel dimasukkan ke dalam makanan ataupun tidak. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak sekolah semakin resah dengan berita kenaikan harga diesel.

“Yang ada anak di asrama sudah dimaklumkan tambang bas untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya Aidiladha terpaksa dinaikkan kerana bas yang telah ditempah oleh pihak sekolah tidak termasuk dalam kategori penerima subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Dewan Muslimat PAS Melaka sebentar tadi sebagai mengulas tindakan kerajaan memansuhkan subsidi diesel dan memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Tegasnya, kesan domino daripada kenaikan harga diesel ini tidak akan terhenti di situ sahaja di mana taraf hidup rakyat akan semakin menurun dan jenayah pula berpotensi meningkat apabila rakyat semakin terdesak.

Ujar beliau lagi, pihak paling terkesan tidak lain tidak bukan, pastilah rakyat bawahan yang menjadi mangsa keputusan dan tindakan melulu dan kurang cerdik jemaah menteri ‘Kerajaan Madani’.

“Janji untuk menurunkan harga minyak jika berkuasa, tinggal janji. Formula yang dicanangkan selama puluhan tahun hanya tinggal formula.

“Berdemo berguling di jalan raya menuntut harga minyak turun hanya sandiwara. Kutukan kepada kerajaan sebelum ini yang menaikkan harga minyak pada skala yang jauh lebih kecil memakan diri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

Ulasan