PAS yakin DUN Nenggiri kekal milik PN

PAS yakin DUN Nenggiri kekal milik PN
June 19, 2024

Share
Dato’ Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU: PAS yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan kekal menjadi milik Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan tidak lama lagi.



Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, PAS sudah melakukan persiapan awal dan turun ke bawah mendapatkan maklum balas daripada pengundi di DUN berkenaan.

Katanya, PAS sudah bersiap sedia sejak awal lagi selepas mendapat gambaran awal kemungkinan berlaku PRK di DUN Nenggiri.

“Setelah berlaku wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan berlaku pilihan raya mulai kelihatan.

“Dan apabila Bersatu membuat pindaan perlembagaan parti itu, kita telah mengambil langkah yang perlu untuk menghadapi kemungkinan berlaku PRK,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu, Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong berikutan wakil rakyatnya melanggar arahan parti selaras dengan Akta Anti Lompat Parti.

Menurutnya juga di Kelantan, ADUN Nengiri Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau turut mengakui PAS dan PN akan menghadapi cabaran pihak lawan pada PRK terbabit.

“Cuma dalam konteks di Kelantan saya yakin DUN berkenaan akan kekal milik PN,” ujar beliau.

Ditanya mengenai calon PN yang akan bertanding, kata beliau perkara itu ditentukan pimpinan tertinggi PAS dan PN.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas pimpinan tertinggi PN yang tentukan calon,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan