PASTI Travel, In Saff tawar pakej lengkap ke Tanah Suci





PASTI Travel, In Saff tawar pakej lengkap ke Tanah Suci
June 3, 2024

Mior Hassan Sazali dan Mohd Nazri dalam majils memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara PASTI Travel & Tours dan In Saff Travel & Tours di Batu Caves, Selangor pada hari ini, 3 Jun 2024.

BATU CAVES: Gabungan dua syarikat pengendali umrah dan haji, PASTI Travel & Tours Sdn. Bhd. (PASTI Travel & Tours) dan In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. (In Saff Travel & Tours) kini menyediakan tawaran perkhidmatan secara pakej lengkap ke Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutif PASTI Travel & Tours, Mior Hassan Sazali Mior Hajjar berkata, beliau menzahirkan syukur kepada Allah SWT berpeluang mengadakan usahasama dengan In Saff Travel & Tours.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat di bangunan PASTI Travel di Prima Sri Gombak, di sini, hari ini.

“Kami mencari syarikat kolaborasi dari strategi korporat dan mengharapkan dari rakan kongsi strategi (tersebut) kita peroleh ‘win-win situation’ untuk belajar daripada syarikat berpengalaman.

“Syarikat In Saff Travel & Tours akan memberikan kita latihan dan kemudahan kita dapat menggunakan semua pentadbiran dan pengurusan agensi tersebut bagi memastikan PASTI Travel & Tours dapat bersama-sama menguruskan syarikat pelancongan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PASTI Travel & Tours, Muhtar Suhaili As-Sarawaki dan Pengurus In Saff Travel & Tours, Mohd. Nazri Omar.

Tambah Mior Hassan Sazali, beliau berharap agar perjanjian ini dapat melakukan lebih banyak promosi untuk melaksanakan umrah ziarah dan pelancongan bagi menerokai pasaran dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana keuntungan yang sesuai.

“Pihak kami juga mengharapkan masyarakat di luar sana dapat memandang bahawa PASTI Travel & Tours merupakan sebuah agensi pelancongan yang mampu membawa kembara Islamik kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

PASTI Travel & Tours ditubuhkan pada 11 Januari 2006 dengan nama Banjaran Bakti Sdn. Bhd. sebelum dijenamakan semula dengan nama PASTI Travel & Tours pada 6 September 2013.

Sementara itu Mohd Nazri berkata, MoU bersama PASTI Travel & Tours dijangka memberi nilai tambah yang baik kepada kedua-dua belah pihak.

Sebagai syarikat yang berpengalaman dalam perkhidmatan servis secara pakej lengkap ke tanah suci, In Saff Travel & Tours telah didaftarkan pada 27 November 2014 sebelum mula beroperasi menjelang 1 Disember tahun yang sama.

In Saff Travel dengan bertemakan ‘Insafi Nurani, Santuni Rohani’ mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan dan menyediakan kemudahan untuk urusan ke Tanah Suci dan lokasi pelancongan.

Dalam pada itu, Muhtar Suhaili berkata, beliau mendoakan kerjasama antara PASTI Travel & Tours dan In Saff Travel & Tours dipermudahkan segala urusan seperti yang direncanakan.

Terdahulu, projek pertama umrah PASTI Travel & Tours bersama Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd. diadakan pada cuti sekolah, 26 Ogos hingga 6 September lalu.

Muhtar berkata, program umrah tersebut adalah hadiah kepada guru-guru yang terpilih dan akan dibawa untuk menunaikan umrah selain terbuka kepada orang awam.

“Jumlah guru PASTI seluruh negara seramai 9,002 orang dan pemilihan itu tertakluk cadangan daripada PASTI setiap negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

Ulasan