‘Pemimpin sanggup kurus, baru rakyat akan gemuk’



‘Pemimpin sanggup kurus, baru rakyat akan gemuk’
June 20, 2024


KANGAR: Kenaikan harga diesel dijangka membawa kesan domino peningkatan harga keperluan, sekali gus menyebabkan bencana ekonomi kepada golongan rakyat bawahan.

Dari perspektif Islam, masalah yang terjadi seperti itu boleh dikaitkan dengan kegagalan para pemimpin yang mentadbir kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.

Al-Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, teladan pemimpin yang baik ialah mereka perlu mendahulukan kepentingan rakyat daripada diri sendiri.

“Kita kena (perlu) ada satu formula menyelesaikan semua masalah ini, iaitu disebut apabila pemimpin gemuk, rakyat kurus dan apabila pemimpin sanggup kurus, barulah rakyat boleh gemuk,” katanya.

Menurut beliau, sikap pemimpin yang menentukan dasar negara ini, jika setakat bercakap mengenai keutamaan kepada rakyat tidak cukup, sebaliknya ia perlu dibuktikan dengan amalan.

“Contohnya, tolak kenderaan rasmi kerajaan, tapi kita kata baguslah, kereta yang mahal itu dia tolak, tiba-tiba dia gantikan dengan helikopter yang belanja 10 kali ganda daripada kereta yang ditolak tadi,” kemukanya.

Tuan Guru Hashim juga menjelaskan bahawa tindakan seperti itu tidak melambangkan pemimpin yang berkorban untuk rakyat, sebaliknya ia menunjukkan pemimpin mengutamakan diri sendiri.

“Selagi sikap pemimpin tidak meletakkan ataupun tidak mengamalkan keutamaan kepada rakyat dan sanggup untuk kuruskan diri, saya tidak yakin bahawa kita boleh mengubah keadaan ini,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa kenaikan harga diesel untuk menampung kekurangan ekonomi bukanlah penyelesaian kepada masalah jangka panjang yang dihadapi oleh rakyat.

“Pemimpin banyak dapat kemudahan, kebanyakannya percuma dan rakyat dibebankan perlu bayar walaupun miskin. Jadi, jika pemimpin sanggup berkorban, maka rakyat akan menikmati keadaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa pergantungan kepada negara-negara kaya tidak mempunyai sebarang makna jika sikap pemimpin tidak berubah untuk mengutamakan rakyat.

Menurutnya, pemimpin harus menjalani kehidupan yang sederhana dan berkorban demi kesejahteraan rakyat, namun pemimpin sekarang lebih cenderung mengutamakan kemudahan dan kekayaan peribadi. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

Ulasan