Perihal makna aparteid




Perihal makna aparteid

PERKATAAN aparteid sering disalahguna dan tidak menggambarkan situasi yang sebenar terutamanya melibatkan hak Melayu di negara ini.
Oleh Teo Kok Seong
4 Jun 2024, 8:17 am

PENGGUNAAN perkataan aparteid untuk menyifatkan kemasukan hanya pelajar etnik Melayu dan bumiputera di sebuah universiti awam tertentu bukan sahaja amat tidak tepat tetapi keterlaluan sekali.

Hal ini umumnya menyebabkan kemarahan etnik Melayu. Namun dalam polemik berikutan diksi, yakni pemilihan bentuk bahasa, ada pihak tertentu dari etnik Melayu sendiri yang mempertahan pemilihan perkataan aparteid itu sebagai tepat, malah sangat tepat pun. Ia dikatakan demikian kerana keberadaan institusi berkenaan yang memang pun begitu sifatnya.

Aparteid adalah perkataan bahasa Afrikaans yang berasal daripada bahasa Perancis, iaitu mettre a part. Ia secara umumnya membawa maksud memisahkan atau pengasingan. Secara khususnya, ia merujuk kepada sistem politik lampau di Afrika Selatan yang hanya mengiktiraf orang berkulit putih sahaja sebagai mempunyai hak politik penuh dan tidak yang lain, khususnya mereka yang berkulit hitam.

Makna khusus itu kemudiannya menjadi umum dalam mana-mana bahasa yang ikut menggunakannya. Kini, ia rata-ratanya merujuk kepada dasar yang memisahkan sehingga wujudnya pengasingan berasaskan faktor etnisiti, agama dan sebagainya. Dengan kata lain, aparteid membawa pengertian wujudnya diskriminasi, khususnya penindasan yang wewenang sifatnya.

Sehubungan diksi aparteid itu, tidak dapat dinafikan ia bukan sahaja perkataan emotif, yakni yang akan membangkitkan emosi tertentu yang kuat sifatnya. Juga ia tidak santun langsung sebagai kata sifat untuk institusi berkenaan yang begitu istimewa tarafnya di negara ini. Ini kerana ia ditubuhkan khas untuk anak watan asal, iaitu etnik Melayu di seluruh negara dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan ini, institusi itu bukan sesekali bersifat memisahkan dengan pengasingan wewenang yang ditohmahkan itu. Ia sebenarnya tindakan afirmatif, iaitu dasar untuk membantu anak watan negara ini yang rata-ratanya tercicir.


Sesungguhnya tindakan afirmatif adalah usaha mulia yang dianggap sebagai langkah positif. Dengan ini, ia diamalkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Sesungguhnya diksi aparteid itu tidak wujud secara tidak sengaja. Ia didapati memang diniatkan sebegitu untuk menimbulkan kesan tertentu. Antaranya untuk mengungkapkan rasa tidak puas hati pihak tertentu bagi tujuan mengacum, dengan sengaja menggunakan perkataan berat itu.

Sehubungan ini, ia memang sarat dengan segala perumusan negatif, baik dari segi denotatasi, iaitu makna asas yang harfiah, mahupun konotasi, yakni gagasan yang akan tercetus daripada makna asas itu.

Tidak dapat disangkalkan bahawa diksi itu ingin dipastikan sebegitu, yakni mahu sengaja digunakan untuk membangkitkan tindakan balas tertentu. Ini kerana ia wujud dalam bentuk tulisan, malah pada judulnya lagi. Ini bermakna perkataan itu memang sengaja mahu dimanfaatkan sifat emotifnya.

Sebaliknya ia boleh sahaja digugurkan semasa penyuntingan tulisan itu. Namun ia terus mahu dikekalkan. Antaranya untuk menanamkan citra buruk, yakni adanya penindasan wewenang di institusi yang dimaksudkan itu.

Halnya berlainan kalau perkataan penuh kontroversi itu dilafazkan. Ini kerana ia wujud dalam bentuk lisan yang sifatnya sponstan, yakni berlaku pada masa itu juga yang kekadangnya tidak pun diniatkan sebegitu. Dengan kata lain, bentuk lisan bukan seperti bentuk tulisan, ia selalunya tiada perencanaan dan berlaku segerak hati semata-mata. Justeru tiada sangat niat yang disengajakan.

Sebenarnya perkataan aparteid yang digunakan itu dalam apa-apa konteks jua tetap membawa pemahaman mengutuk, baik secara harfiah mahupun tidak. Ini kerana perkataan itu memang lantang mengangkat pengertian diskriminasi yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, dalam apa-apa jua konteks, aparteid membawa denotasi dan konotasi negatif atas dasarnya sebagai perkataan emosi yang memang negatif.

Dengan ini, tiada gunanya untuk membela diksi yang memang buruk itu. Ia ibarat menegak benang basah. Aparteid memang bentuk bahasa jelik yang tidak sepatutnya digunakan dengan sesuka hati kerana sifatnya yang menyakitkan hati itu.

Dengan ini, ia memang menghina, yakni langsung tidak menghormati entiti yang dirujuki itu. Di samping ini, ia juga sungguh agresif, iaitu menyerang sahaja segala yang dikecam itu.



TINDAKAN MEMBABI BUTA

Sebenarnya tindakan mempertahan diksi aparteid terhadap institusi berkenaan yang merupakan hasilan Perjanjian Etnik Melayu-Cina-India yang dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial, adalah perbuatan membabi buta. Ini kerana ia sesekali tidak memperlihat sebarang akal digunakan, apatah lagi yang tajam.

Tindakan sebegini yang juga memperlihat tiadanya jati diri Melayu yang kental pada pihak tertentu dalam kalangan etnik Melayu, bukan sahaja memperlihat kebebalan diri sendiri. Ia juga memperlihat sudah hilangnya kekuatan jiwa Melayu di tanah watan sendiri pada mereka itu.

Hal ini juga dapat dilihat pada konsep tertentu dalam ajaran Islam yang memang dikhaskan rujukannya kepada penganut Islam sahaja. Sehubungan ini, ia didapati digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mewajarkan keberadaan serta tindakan mereka yang bukan Islam.

Dalam hal ini, etnik Melayu harus lebih berhati-hati, yakni tidak boleh sesekali menggadaikan maruah etnik Melayu, apatah lagi kesucian agama Islam dengan begitu mudah sekali.

Antaranya untuk mengabsahkan apa-apa yang sememangnya tidak sah pun dari segi ajaran Islam dan warisan Melayu yang dilakukan oleh bukan Melayu-Islam.-UTUSAN



PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Ulasan