Peringatan buat bekas ADUN Nenggiri


Peringatan buat bekas ADUN Nenggiri
June 20, 2024

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim diingatkan bahawa menggunakan logo PAS ketika bertanding pilihan raya bukan bermakna dia menjadi ahli parti PAS.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini adalah sebagaimana DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) yang pernah menggunakan logo PKR dahulu sebelum Pakatan Harapan (PH) didaftarkan.

“Tak perlulah berdolak-dalik. DUN Nenggiri ini dulunya kerusi Umno. Rakyat tolak Umno dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) baru-baru ini dan undi PN.

“Kalau dah bertindak sokong parti lawan maka serahlah kembali mandat kepada rakyat, biar rakyat yang putuskan.

“Hormatilah undang-undang dan terimalah keputusan Speaker,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Kerusi DUN Nenggiri, Kelantan telah diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berikutan Mohd Azizi sebagai ADUN di DUN berkenaan tidak lagi menjadi ahli parti Bersatu.

Menurut Roslan lagi, ia adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Kelantan yang sebelumnya dipinda selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diberitahu dan akan bermesyuarat 28 Jun ini untuk membincangkan keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk DUN ini.

“Anehnya bekas ADUN berkenaan boleh mendakwa sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan bahawa, ‘Saya digugurkan sebagai ahli oleh Bersatu tetapi secara teknikalnya saya ADUN mewakili PAS kerana watikah saya datang dari PAS’.”

“Tak perlu pusing-pusing sehingga memeningkan rakyat khasnya pengundi di Nenggiri. Semua tahu bahawa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan yang kesemua calonnya menggunakan logo PAS dalam PRN Kelantan dan Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

Ulasan