Peruntukan Parlimen: PN belum terima maklum balas





Peruntukan Parlimen: PN belum terima maklum balas
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Oleh FITRI NIZAM
4 Jun 2024, 7:30 am


PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) belum mendapat maklum balas daripada kerajaan berhubung pemberian peruntukan kepada Parlimen kepada pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berharap isu pemberian peruntukan Parlimen kepada pembangkang dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, rundingan telah dilaksanakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.

“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) sebelum ini.

“Kita harap ia dapat disegerakan bagi meneliti syarat yang diletakkan oleh kerajaan, walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini menyatakan tiada syarat ketat diberikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Justeru, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kini pihaknya hanya menunggu maklum balas lanjut daripada kerajaan berhubung rundingan yang sudah dilaksanakan sebelum ini.


Semalam, akhbar ini melaporkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memaklumkan bahawa sehingga kini beliau belum mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada pembangkang selepas dua kali melakukan perbincangan.

Beliau berkata, rundingan tersebut dilakukan dengan Fadillah serta pemimpin tertinggi kerajaan lain di luar kerangka rundingan rasmi.

Katanya, rundingan pertama dilakukan sejak Oktober tahun lalu namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut daripada pihak kerajaan.

“Sebaik saja kerajaan meletakkan pra syarat berunding untuk mendapatkan peruntukan Parlimen, saya terus berunding. Bukan sekali tapi dua kali dan tiga surat diutuskan.

“Tapi sampai ke hari ini kita belum dapat apa-apa maklum balas. Saya tak lihat perkara ini perkara kecil, ia jelas politik balas dendam untuk menekan pengundi yang mengundi pembangkang,” katanya.

Ulasan