Rafah, sempadan Lubnan-Israel makin tegang



Rafah, sempadan Lubnan-Israel makin tegang
ASAP berkepul-kepul dari sebuah bangunan di Rafah. AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
20 Jun 2024, 8:00 pm

GAZA: Serangan udara dan pertempuran antara tentera Israel dengan pejuang Hamas terus melanda wilayah Gaza, selepas rejim Zionis memberi amaran pihaknya bersedia menyerang kumpulan Hezbollah di kawasan sempadan.

Saksi dan Agensi Pertahanan Awam di Gaza melaporkan pengeboman Israel di Rafah pada Rabu, menyebabkan tujuh orang terbunuh.

Tentera Israel mengumumkan ‘jeda’ kemanusiaan setiap hari dalam pertempuran di jalan utama di timur Rafah.

Namun, Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap langkah itu masih belum memadai untuk bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Perang yang memasuki tempoh sembilan bulan di Gaza mendorong krisis kemanusiaan yang teruk di wilayah itu dan kebimbangan PBB terhadap risiko kebuluran.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, terdapat peningkatan dalam penghantaran bantuan ke utara Gaza beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi kemerosotan drastik berlaku di bahagian selatan.


“Komoditi asas boleh didapati di pasaran di selatan dan tengah Gaza. Tetapi, ia tidak mampu dimiliki oleh ramai penduduk,” katanya.

Perang Gaza menyebabkan ketegangan di seluruh rantau semakin meningkat, dengan pertempuran berlanjutan antara Israel dan sekutu Hamas yang disokong Iran.

Selasa lalu, tentera Israel mengumumkan rancangan operasi untuk serangan di Lubnan sudah ‘diluluskan dan disahkan’.

Pada Rabu, Israel berkata, pesawat perangnya menyerang lokasi Hezbollah di selatan Lubnan dan sebuah dron menyusup berhampiran bandar sempadan Metula, yang didakwa menyasarkan tentera.

Hezbollah mengesahkan empat anggotanya terkorban dalam serangan tersebut.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan serangan Israel ke atas beberapa kawasan di selatan negara termasuk di perkampungan sempadan Khiam, Rabu lalu.

Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, Hezbollah berkata, ia melancarkan puluhan roket Katyusha dan peluru meriam ke arah berek di Kiryat Shmona di utara Israel.

Menurut Israel, serangan kumpulan itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kematian dan artilerinya sendiri mengenai punca api.

Ulasan