Ramai lepasan SPM layak ambil jurusan perubatan tapi tidak minat


Ramai lepasan SPM layak ambil jurusan perubatan tapi tidak minat
SERAMAI 21,157 lepasan SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang yang membolehkan mereka menyambung pengajian dalam bidang perubatan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
3 Jun 2024, 8:00 am

PUTRAJAYA: Berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, seramai 21,157 lepasan layak menyambung pengajian dalam bidang perubatan, sekali gus boleh mengatasi masalah kekurangan doktor yang dihadapi negara ketika ini.

Namun, golongan tersebut didakwa tidak berminat untuk meneruskan pengajian dalam jurusan itu mungkin disebabkan oleh kos yang tinggi dan bimbang sukar tamatkan pengajian.

Mengikut laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2023, kira-kira 23 peratus pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk semua subjek atau sekurang-kurangnya satu subjek Elektif STEM iaitu Sains Tulen dan Matematik Tambahan berpotensi mengambil jurusan tersebut.

Subjek Elektif STEM merupakan antara syarat kelayakan utama yang wajib lulus sekurang-kurangnya gred B untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di institut pengajian tinggi.

Seramai 109,921 pelajar menduduki subjek Matematik Tambahan, Fizik (90,778 orang); Kimia (91,674 orang) dan Biologi (71,604 orang).

Mereka yang gagal pula ialah sekitar 8 peratus dengan tertinggi meliputi Matematik Tambahan iaitu 25.9 peratus gagal atau 28,469 orang; Fizik (544 orang gagal); Kimia (3,300 orang gagal) dan Biologi (644 orang gagal).


Ini bermakna sekitar 32,957 orang gagal untuk kesemua subjek itu atau sekurang-kurangnya gagal dalam satu daripada subjek berkenaan sekali gus tidak melayakkan mereka untuk mengambil jurusan perubatan.

Kuota yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah seramai 4,820 orang setahun, namun jumlah siswazah sebenar adalah lebih rendah iaitu kira-kira 4,000 orang setahun.

Mengikut rekod Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), siswazah perubatan dalam negara pada 2020 adalah seramai 2,401 orang, 2021 (3,132) manakala bagi 2022 (3,934 orang). Antara faktor jumlah siswazah yang rendah adalah kegagalan menamatkan pengajian, menukar jurusan dan lain-lain faktor.

Anggaran siswazah perubatan tempatan bagi tiga tahun akan datang adalah kira-kira 3,934 orang setahun iaitu 2,281 daripada IPT awam dan 1,653 daripada IPT swasta.

Dalam hal ini, ia bermakna bukanlah isu tempat terhad yang boleh ditawarkan kepada pelajar berkenaan, namun timbul persoalan berhubung ketiadaan minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, apatah lagi kos tinggi.

Kursus perubatan juga adalah satu daripada satu kursus paling mahal dan pa­ling lama untuk diselesaikan dengan kos belajar perubatan berjumlah antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada universiti dan mengambil masa sekitar lima tahun untuk dihabiskan.

Setelah menamatkan pe­ngajian, graduan perubatan dikehendaki menjalani latihan klinikal (HO) dalam sistem penjagaan kesihatan awam. Di peringkat ini, pelajar perubatan paling cemerlang pun tercicir kerana tuntutan kerja.

Mengulas mengenai isu ini, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, pengetahuan pelajar tentang kerjaya bidang STEM masih rendah tidak hanya dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.

Katanya, negara masih kekurangan calon dalam bidang itu, misalnya pada tahun 2018, Malaysia menjangkakan seramai 500,000 ahli sains dan jurutera diperlukan pada tahun 2020, namun angka itu belum lagi tercapai.

“Kita masih kekurangan untuk memenuhi kehendak industri sebuah negara maju. Apabila bercakap tentang STIE (sains, teknologi, inovasi dan ekonomi), Malaysia memerlukan graduan dalam bidang STEM.

“Persediaan sumber manusia bidang STEM penting untuk menghadapi IR 4.0 (revolusi industri 4.0) dan AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Ahmad menambah, berdasarkan keputusan SPM 2023, pencapaian subjek Sains Tulen dan Matematik Tambahan masih rendah dibandingkan dengan keperluan pencapaian sepatutnya, walaupun ada yang menunjukkan peningkatan.

Ini belum termasuk pelajar yang gagal dalam subjek teras iaitu Sains dan Matematik dengan seramai 25,174 gagal subjek Sains dan 85,706 gagal subjek Matematik.

Katanya, prestasi setiap subjek mesti menunjukkan pengetahuan sebenar peringkat SPM sebagai asas kepada bidang yang akan diceburi di universiti, walaupun mereka masih ada masa untuk meningkatkan pengetahuan asas di peringkat matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau diploma.

“Semua pelajar lepasan SPM mesti membuat pilihan dengan teliti program di universiti bergantung kepada, minat, pencapaian akademik dan haluan kerjaya,” katanya.

Ulasan