Saya hanya `rubber stamp’ dalam SRC – Suboh





Saya hanya `rubber stamp’ dalam SRC – Suboh
NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tiinggi Kuala Lumpur diiringi pegawai penjara bagi perbicaraan kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Oleh NORLIZAH ABAS
21 Jun 2024, 7:15 am

KUALA LUMPUR: Salah seorang bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhd. memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau hanya berperanan sebagai `rubber stamp’ dalam syarikat pelaburan strategik negara itu bagi melaksanakan kehendak Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pihak atasan.

Datuk Suboh Md. Yassin berkata, pengurusan SRC International hanya melibatkan seorang individu iaitu Perdana Menteri melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga proksi Najib.

Beliau yang juga bekas pengarah bukan eksekutif SRC International berkata, sebarang komunikasi antara Najib selaku Penasihat Emeritus dengan pengarah dilakukan menerusi Nik Faisal.

Jelas Suboh, 73, Nik Faisal hanya berjumpanya jika mahukan beliau menandatangani dokumen dan sebarang pertanyaan yang diajukan akan dijawab `boss nak lah’ atau `diminta pihak atasan’.

“Selalunya dokumen itu sudah ditandatangani oleh Nik Faisal dan saya hanya dikehendaki menurunkan tandatangan balas. Proses `rubber-stamping’ ini berterusan sepanjang khidmat saya dalam SRC.

“Modus operandi seperti ini tidak membolehkan saya mengesahkan sama ada saya pernah menandatangani dokumen tertentu atau tanda tangan saya telah dipalsukan. Nik Faisal selalunya membawa sejumlah doKumen untuk saya tandatangan,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.


Oleh yang demikian, Suboh menafikan tuntutan Najib terhadapnya selaku pihak ketiga kerana ia tidak berasas.

Suboh memberi keterangan sebagai pihak ketiga (yang pertama) pada perbicaraan kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan Nik Faisal.

Dalam pernyataan saksi selaku pihak ketiga, beliau berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan kewujudan lembaga pengarah hanya untuk dilihat sebagai mengisi keperluan korporat namun tidak pernah bertujuan dilibatkan dalam urusan seharian, pelan pelaburan atau keputusan syarikat.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, bidang kuasa lembaga pengarah dikurangkan seminimum mungkin dan tidak diketahui sama ada sebarang amaran didengar oleh pihak pengurusan.

Menurut Suboh, keadaan itu berbeza ketika beliau dilantik sebagai pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antaranya termasuk Indah Water Konsortium (IWK) yang pengurusan syarikat dilaksanakan dengan baik.

Namun ujarnya, pengurusan SRC International hanya melibatkan seorang individu iaitu Perdana Menteri melalui Nik Faisal yang juga proksi Najib.

“Sewaktu mesyuarat lembaga pengarah berlangsung, sebetulnya Nik Faisal yang mengendalikannya dan beliau tidak memberi banyak perhatian terhadap pandangan pengarah-pengarah lain ketika itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Isnin. – UTUSAN

Ulasan