Serangan seksual: Bicara saman bekas pembantu penyelidik terhadap Anwar Jun tahun depan





Serangan seksual: Bicara saman bekas pembantu penyelidik terhadap Anwar Jun tahun depan

Oleh Meja Berita
6 Jun 2024, 7:10 pm

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri atas dakwaan serangan seksual enam tahun lalu, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jun tahun depan.

Peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar memaklumkan, perbicaraan selama tujuh hari bermula 16 Jun itu akan didengar oleh Hakim Dr. Johan Lee Kien How.

“Tarikh-tarikh lain yang ditetapkan ialah pada 17 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun dan pada peringkat ini, pihak-pihak sedang menyediakan dokumen perbicaraan,” ujarnya kepada wakil media hari ini.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman mendakwa serangan seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini.

Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya, manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.


Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.

Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -UTUSAN

Ulasan