Status kerusi DUN Nenggiri: Bersatu ucap terima kasih



Status kerusi DUN Nenggiri: Bersatu ucap terima kasih
June 19, 2024

Share
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Bersatu mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Ammar Nik Abdullah yang telah mengumumkan status kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekosongan tersebut berlaku susulan notis yang dihantar oleh parti Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu daripada parti Bersatu secara serta-merta kerana telah melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu itu sendiri.

“Keputusan Speaker DUN Kelantan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya telah terhenti keahlian partinya secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam negara ini.

Tambahnya, kekosongan luar jangka yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan ini menunjukkan bahawa pindaan perlembagaan Bersatu mengenai anti lompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta-merta yang dikeluarkan kepada wakil-wakil rakyat yang berkenaan adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang.

“BERSATU bersama-sama parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri bermula hari ini.

Beliau menyatakan pada 13 Jun lalu, speaker DUN Kelantan menerima notis bertulis bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang telah hilang keahlian daripada Bersatu.

Azizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang telah dilucutkan keahlian parti kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) menerima nasib yang sama setelah mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian Bersatu ialah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari setelah menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan