Sungai Bakap: Polis tutup 3 jalan sempena penamaan calon


Sungai Bakap: Polis tutup 3 jalan sempena penamaan calon
TIGA laluan menuju ke Dewan Serbaguna Jawi di Nibong Tebal akan ditutup mulai pukul 11.59 malam Jumaat hingga 3 petang Sabtu bagi melancarkan proses penamaan calon sempena PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap, Sabtu ini
Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
20 Jun 2024, 12:35 pm

NIBONG TEBAL : Polis dijangka menutup tiga laluan menuju Dewan Serbaguna Jawi di sini sempena hari penamaaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Chong Boo Khim berkata, penutupan itu bermula pukul 11.59 malam esok (Jumaat) sehingga pukul 3 petang pada hari penamaan calon tersebut.

Katanya, jalan tersebut ialah Jalan Serindit, jalan susur ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS serta jalan susur ke pejabat JKR (Jabatan Kerja Raya) SPS.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan sebaik mungkin dan mengenal pasti laluan-laluan yang akan ditutup selain menggunakan laluan alternatif yang disediakan agar tidak terperangkap dalam kesesakan.

“Kepada mereka yang ingin hadir ke lokasi penamaan calon pula, anda dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti kawasan perumahan sehingga boleh menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Boo Khim, polis juga memohon kerjasama daripada semua pihak agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh semua penguatkuasa bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang proses penamaan calon berlangsung.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 22 Jun sebagai tarikh penamaan calon selain memilih 2 dan 6 Julai, masing-masing sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi bagi PRK berkenaan.-UTUSAN

Ulasan