Tiga pesan Presiden untuk PAS Negeri Sembilan





Tiga pesan Presiden untuk PAS Negeri Sembilan
June 3, 2024

PORT DICKSON: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Md Zain berkongsi tiga nasihat penting Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk PAS negeri ini.

Menurut beliau, perkara tersebut dinyatakan Tuan Guru sewaktu pertemuan bersama tiga ADUN PAS Negeri Sembilan usai kemenangan mereka dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Apabila kita menang tiga orang hari itu, saya, Ustaz Fatah bersama dengan Pesuruhjaya berjumpa dengan Tuan Guru (Presiden PAS). Saya tanya Tuan Guru apa nasihat untuk kami? Tuan Guru bagi nasihat tiga saja.

“Tiga nasihat, (pertama) Cawangan kena tambah, tambahkan keahlian dan berbaik dengan pegawai kerajaan. Yang dengan pegawai kerajaan tu tugas kami. Tugas kita di peringkat Kawasan tambahkan Cawangan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa penambahan Cawangan dan ahli itu sangat penting bagi mengukuhkan lagi kemenangan yang telah dicapai PAS di negeri itu

“Cawangan penting sebab kita nak bina kekuatan. Kita nak bina kekuatan PAS tu sendiri. Itu apa yang disarankan oleh Tuan Guru Presiden untuk membina kekuatan di Negeri Sembilan.

“Yang keduanya keahlian. Keahlian kena tambah. Inilah masanya, inilah suasananya kita kena tambah keahlian,” kata beliau yang juga ADUN Paroi dan Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau.

Kamarol berkata demikian sewaktu berucap mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Port Dickson yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.

Beliau turut mengimbau saat-saat ketika PAS Negeri Sembilan masih belum lagi kuat dan menempuh pelbagai kesukaran, selain tekanan dan penindasan parti pemerintah ketika itu.

“Lepas tu bila jadilah peristiwa 2015, (PAS) Negeri Sembilan _‘collapse’_. Untuk makluman empat Pesuruhjaya kita masuk PAN. Taufik, MK yang sekarang jadi Speaker, Dr Rosli dan arwah Zulkifli.

“Ini pengalaman Negeri Sembilan. Saya cerita ni sebab masa tu saya duduk dalam Pemuda. Kita masuk pilihan raya 2018. Kita masuk 25 kerusi DUN, lapan Parlimen. Itu arahan Pusat,” katanya.

Tambah Kamarol, keputusan pada waktu itu menyaksikan PAS Negeri Sembilan hilang deposit di 23 daripada 25 kerusi yang ditandingi akibat perpecahan yang berlaku pada tahun 2015.

“Tahun 2023 ni satu kejutan berlaku. Allah SWT nak bagi (kemenangan). Ubah suasana. Kita menang. Saya menang (majoriti) 5,500. Kita kukuhkan lagi. Insya-Allah,” ujarnya.

Yang Dipertua PAS Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria dalam ucapan mengimbau pengalaman PAS kawasan melalui siri-siri pengkhianatan pada ‘Krisis 2015’ sehingga ramai yang meninggalkan parti.

“Kita telah memutihkan mereka yang telah meninggalkan kita. Alhamdulillah inilah mereka yang tinggal dah telah menempa sejarah. Mereka menjadi panglima kita untuk kemenangan ini. Itulah kelebihan kita

“Apabila pengkhianat telah kita dapat keluarkan, mereka yang tinggal adalah mereka penuh dengan amanah ini dan hasilnya ialah kemenangan kita di DUN Bagan Pinang,” katanya yang juga ADUN Bagan Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.

Beliau menzahirkan harapan agar kehadiran Timbalan Presiden PAS ke Mesyuarat Agung itu akan memberi satu aura kebangkitan yang lebih hebat untuk menambah lagi kerusi DUN dan seterusnya memenangi kerusi Parlimen Port Dickson.

“Inilah suasana Port Dickson, inilah perwakilan kita, kita dapat tampilkan begitu ramai hari ini, alhamdulillah pada hari ini mungkin dah di atas kemenangan kita di DUN Bagan Pinang,” ujarnya.

Majlis yang telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man itu turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda Negeri, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan dan Ketua Dewan Muslimat Negeri, Masita Mohamed Ali.

Dalam majlis tersebut Lajnah Kebajikan PAS Kawasan telah menerima Anugerah Lajnah Terbaik; Dewan Muslimat PAS Kawasan menerima Anugerah Dewan/ Cawangan Terbaik: manakala Mustapha Hamzah pula menerima Anugerah YDP PAS Kawasan Port Dickson. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

Ulasan