Wujudkan harga RON89, RON91 lebih rendah tanpa subsidi



Wujudkan harga RON89, RON91 lebih rendah tanpa subsidi
June 13, 2024


Carta perbandingan harga minyak di era pimpinan Najib Tun Razak (kiri) dan di bawah Kerajaan Madani (kanan). (FOTO: Ihsan HAKS)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa membuat penilaian semula agar impak kenaikan harga diesel dapat diatasi dengan sewajarnya.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, pemansuhan subsidi diesel secara penuh di Semenanjung Malaysia adalah satu hadiah sengsara yang terpaksa ditelan oleh rakyat.

Ini berikutan keputusan yang dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, harga diesel di stesen minyak Semenanjung Malaysia tidak lagi disubsidi bermula 11 Jun 2024 atas alasan untuk menyelamatkan negara dalam aspek kewangan dan juga daripada penyeludupan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
- Advertisement -


Menurut Shahir, agak menarik jika dibandingkan waktu subsidi diesel dimansuhkan era mantan Perdana Menteri ke-enam, Datuk Seri Najib Tun Razak , harga subsidi hanya naik 3 sen, walaupun harga minyak pada waktu itu adalah AS$ 110/tong.

“Ketika harga minyak dunia lebih rendah, sekitar AS$80/tong, subsidi diesel dimansuhkan seterusnya menyebabkan harga diesel naik mendadak sebanyak RM 1.20 setiap liter, daripada RM 2.15 kepada RM 3.35 setiap liter.

“Ini adalah kenaikan harga melebihi 50 peratus,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.


Beliau turut berkata, menteri berkaitan perlu menjelaskan apakah formula yang digunakan rentetan kenaikan harga yang mendadak itu.

“Kementerian berkaitan perlu mempergiatkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengelakkan ketirisan akibat penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak kerana harga minyak di sana masih diberikan subsidi,” jelasnya.
Syahir Adnan

Tambah beliau lagi, jika masalah ketirisan diesel merupakan faktor utama diberikan oleh Kerajaan Madani untuk memansuhkan subsidi, maka penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura wajib ditingkatkan.

Selain itu, katanya, alasan memansuhkan subsidi kerana tidak mahu menolong golongan ‘Maha Kaya’ adalah naratif yang dinyatakan Kerajaan Madani.

Justeru, beliau yang mewakili HAKS berharap penjimatan hasil pemansuhan subsidi ini diberikan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu hasil penjimatan ini diberikan kepada golongan Maha Kaya kroni tertentu dalam bentuk projek-projek rintis,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar kerajaan dapat membuat penilaian semula kenaikan harga diesel lebih 50 peratus, seterusnya menggunakan penilaian ini apabila pemansuhan subsidi RON95 diumumkan kelak.

“HAKS juga ingin cadangkan agar Kerajaan Madani dapat membuka ruang baharu bagi mewujudkan penjualan RON89 atau RON91 yang harga lebih rendah walaupun tanpa subsidi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/06/2024

Ulasan