10 kes buli siber sehari
Lawak jenaka sehingga mengaibkan individu lain boleh diklasifikasi siber
Oleh HAFIZ SAIDINA dan NUR AINA HANIS ABD. HALIM
15 Julai 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Berdasarkan Laporan Digital Global 2024, sebanyak 28.68 juta orang atau 83.1 peratus daripada penduduk Malaysia mempunyai akaun media sosial.
Ia adalah tambahan 4.8 juta identiti pengguna mendaftar media sosial yang menyumbang kepada lonjakan sebanyak 20 peratus daripada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 57.5 peratus rakyat didapati banyak menggunakan media sosial pada masa lapang yang boleh menjadikannya sebagai platform untuk bersikap buruk dan membuli berpunca daripada perasaan tidak puas hati atau marah apabila keperluan asas tidak dipenuhi.
Data yang dikongsi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula menunjukkan, secara purata sebanyak 10 kes buli siber setiap hari dipercayai berlaku di negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
Jumlah itu membabitkan 9,483 aduan kes buli siber diterima suruhanjaya berkenaan dalam tempoh terbabit. Ia melibatkan 4,878 kes bagi wanita manakala 4,605 kes lagi berlaku kepada lelaki.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, buli siber adalah satu perbuatan dan senjata yang menjatuhkan reputasi atau membunuh personaliti seseorang dengan melibatkan perasaan serta teknologi.
Katanya, peningkatan pengguna media sosial menyebabkan tahap jumlah kes buli siber meningkat setiap tahun.
“Ramai menggunakan media sosial untuk berhubung sesama kenalan tetapi ada menggunakannya untuk mengisi masa lapang sehingga berpotensi menjadi pembuli siber secara langsung atau sebaliknya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pempengaruh di aplikasi TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian-kejadian buli siber yang berlaku akhir-akhir ini sehingga mengakibatkan kematian.
Berikutan itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu berkaitan buli siber diperkenalkan, meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial sekiranya berlaku kes tersebut.
Perkara sama turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain yang menyatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan undang-undang lebih terperinci bagi membendung buli siber secara berkesan.
Mengulas lanjut, Siraj berkata, buli siber boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam tekanan sehingga menyebabkan kematian.
“Buli siber juga sudah menjadi satu tingkah laku kebiasaan dalam kalangan masyarakat sekarang dan ia sudah berjangkit dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Beliau yang bimbang dengan perkembangan itu berkata, kerajaan perlu menyemak semula atau mewujudkan akta khas khusus bagi menangani masalah buli siber.
“Akta khusus tersebut boleh diguna pakai oleh polis untuk mengambil tindakan lebih cepat sekiranya terdapat mangsa membuat laporan.
“Polis juga boleh mewujudkan jabatan siasatan jenayah siber bagi menangani masalah yang berkaitan dengan teknologi maklumat (IT) dan digital agar dapat diselesaikan melalui satu jabatan sahaja,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan