ADUN Rembia, kini wakil rakyat PAS


ADUN Rembia, kini wakil rakyat PAS
July 16, 2024

Muhammad Jailani (tiga dari kanan) dalam sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini, 16 Julai 2024.

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini adalah ahli Umno, kini sah sebagai wakil rakyat PAS-Perikatan Nasional (PN).

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media di Bangunan Parlimen sebentar tadi.

Menurut Takiyuddin, kemasukan Muhammad Jailani ke dalam PAS telah diluluskan pada 10 Jun tahun lepas yang mana pada waktu itu negeri Melaka belum lagi meminda undang-undang berkaitan lompat parti.

“Dewan Undangan Negeri Melaka sekarang ini kita bukan ada dua orang pembangkang, tetapi tiga orang pembangkang. Satu daripada (DUN) Bemban, (dan) satu Sungai Udang.

“Sekarang ini ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis daripada parti Umno Barisan Nasional,” katanya.

Menurut beliau, Muhammad Jailani telah menyertai PAS sebelum Undang-undang Anti Lompat parti di Melaka diluluskan pada 31 Julai tahun lepas.

“Kalau di Parlimen selepas pindaan pun tak gugur, jadi kalau tidak ada undang-undang ni memang tak gugur. Ia dipanggil lawless.

“Tidak ada undang-undang lompat parti pada masa Datuk Jailani melompat daripada Umno kepada Perikatan Nasional ataupun kepada PAS itu,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Jailani didesak meninggalkan Umno dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandangnya berikutan tindakannya menyertai perhimpunan parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau yang menang pada PRU-14 atas tiket PKR, merupakan antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat parti menyokong BN bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Muhammad Jailani kemudian dikatakan dipecat parti itu sebelum mengumumkan menyertai Umno bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Menjelang PRU-15, beliau telah menyertai perhimpunan parti pembangkang, selain turut serta dalam perarakan proses penamaan calon PAS Parlimen Ketereh di Kelantan.

Beliau juga menghadiri majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Muhammad Jailani bagaimanapun mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadirannya pada majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN Umno, tetapi sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

Ulasan