Ahmad Zahid henti prosiding saman MKini
AHMAD ZAHID HAMIDI
Oleh ARIF AIMAN ASROL
18 Julai 2024, 2:11 pm
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan prosiding saman fitnah terhadap MalaysiaKini berhubung 22 laporannya yang disifatkan berbaur fitnah dan selektif.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau memfailkan saman pada portal berita itu pada 24 Mac 2021, bagaimanapun ia telahpun dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah pada 4 September 2023.
Katanya, beliau dinasihatkan pihak peguamnya untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah itu bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak yang terlibat.
“Tindakan yang dilakukan oleh defendan-defendan telah mencemar nama baik dan memberikan sentimen negatif terhadap diri saya.
“Namun, setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu ini dan berharap defendan-defendan lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan yang diterbitkan terhadap saya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Presiden UMNO itu memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi berjumlah RM220 juta terhadap pengendali portal Malaysiakini serta dua lagi.
Selain menuntut jumlah ganti rugi tersebut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memohon perintah injuksi bagi menghalang salah seorang wartawan portal terbabit daripada terus melaporkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya yang dikatakan berbaur fitnah.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu dengan menamakan Mkini DotCom Sdn. Bhd., Ketua Editor Malaysiakini, Gan Diong Keng, 59, dan wartawan itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif seperti yang dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyeru kepada pemain-pemain media dan semua pemegang taruhnya untuk terus bersandarkan kepada prinsip dan etika kewartawanan yang tinggi dan berhemah atas setiap penerbitan yang dikeluarkan.
“Terbitan berita yang salah, laporan yang selektif, bias dan tidak tepat tentu sekali merencatkan keyakinan awam kepada nilai kewartawanan yang bertanggungjawab dan ia juga akan mencemarkan integriti lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama baik dan kepribadian seseorang atau sesebuah institusi,” jelasnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan