Apa kaitan salah guna dadah dengan bunuh diri


Apa kaitan salah guna dadah dengan bunuh diri
July 18, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih serius untuk membuat kajian sampai ke peringkat kajian empirikal sebagaimana yang dibuat oleh UNODC (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah) yang menjalankan kajian empirikal dan berdasarkan bukti untuk atasi masalah penyalahgunaan dadah.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, satu Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2022 didapati 60,000 remaja di negara ini dikenal pasti terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, manakala 160,000 remaja memiliki sejarah pengambilan barang-barang terlarang.

“Yang Berhormat tentu lebih arif mengenai data daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2023 terdapat seramai 145,526 orang penagih dan penyalahguna dadah dan bahan terlarang, 53 peratus jenis Methamphetamine.

“Tetapi yang yang menggemparkan, 62 peratus daripada penagih dan penyalahguna dadah itu berusia 19 sehingga 39 tahun.

“Manakala data daripada penjara menunjukkan bahawa pada terdapat daripada 3,472 sabitan di bawah Seksyen 15 1 DDA (Akta Dadah Berbahaya), 56 peratus kesalahan adalah berulang empat kali ke atas seramai 1,900.

“Jadi soalan saya apakah kajian terperinci khususnya dalam mengesan penagih dadah remaja yang didapati menggunakan semula dadah selepas tempoh relaks ataupun tempoh mereka berhenti serta hubung kait antara penyalahgunaan dadah dengan kes bunuh diri.

“Dan hari ini apakah bentuk intervensi segera yang ditawarkan oleh kerajaan untuk membantu golongan terutama mereka yang datang daripada keluarga susah serta tawaran peluang kedua kepada golongan ini yang terpaksa berdepan dengan stigma dan juga tekanan hidup akibat rekod jenayah sehingga sukar nak mencari peluang-peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dalam jawapannya memberitahu, kerajaan cuba mengatasi masalah tersebut dengan cadangan yang dibuat supaya dibuat kajian secara empirikal.

Takiyuddin dalam soalan asalnya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah Kerajaan telah membuat kajian terperinci dan sesi libat urus yang secukupnya berkenaan cadangan untuk menyahjenayah (dekriminalisasi) dalam penyalahgunaan dadah kerana ia akan memberi impak kepada keselamatan masyarakat awam. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

Ulasan