Diskriminasi politik ke atas penjawat awam
July 15, 2024
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan membangkitkan isu berkaitan dengan diskriminasi politik terhadap penjawat awam yang cenderung kepada parti pembangkang.
ADUN Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam sidang DUN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung pada 5 hingga 7 Ogos ini.
“Selain daripada perkara-perkara berkaitan dengan permasalahan rakyat, kita akan melihat juga mengenai apa yang berlaku Negeri Sembilan pada hari ini dalam hal yang berkaitan dengan penjawat awam yang tidak dibenarkan berpolitik.
“Sedangkan dalam masa yang sama ada orang-orang tertentu yang terang-terangan boleh berpolitik kerana mereka menyokong kepada Kerajaan PH-BN, mereka dibiarkan,” ulasnya.
Baru-baru ini kecoh diperkatakan apabila seorang berstatus pengarah sebuah jabatan kerajaan di negeri itu yang masih berkhidmat dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Ia menimbulkan persoalan berhubung pelanggaran peraturan Perintah Am Kerajaan yang melarang pegawai kumpulan A ke atas daripada melibatkan diri dalam politik.
Ustaz Fairuz yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan menambah, walaupun kakitangan awam bagi jawatan sokongan dibenarkan berpolitik, namun ia hanya boleh pada penyokong parti kerajaan.
Sementara penyokong parti pembangkang pula kata beliau, akan diambil tindakan walaupun kumpulan sokongan boleh melibatkan diri dalam politik.
“Sebab sekarang ni apa yang saya dimaklumkan oleh sahabat-sahabat kita yang berada di sektor kerajaan terutama yang berada dalam sektor sektor pendidikan habis dia kacau semua.
“Orang lain tak boleh, tetapi dia boleh. Tak boleh macam tu. Bagi saya adalah sesuatu yang tak baik dari segi demokrasi. Itu ‘double standard’,” tegasnya.
Selain itu katanya, ADUN-ADUN PN akan terus membangkitkan di dalam Sidang DUN itu isu berkaitan kesusahan rakyat pada masa ini yang berhadapan kos sara hidup tinggi akibat keputusan-keputusan dibuat kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan