‘Double standard’ guna jentera kerajaan semasa pilihan raya



‘Double standard’ guna jentera kerajaan semasa pilihan raya
July 9, 2024

Datuk Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR: Jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap isu penggunaan jentera dan pengumuman peruntukan kerajaan semasa pilihan raya jelas menunjukkan sikap ‘double standard’ kerajaan.

Perkara itu susulan jawapan Anwar terhadap soalan yang diajukan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim sewaktu sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia berkaitan dengan kejadian tersebut yang berlaku secara berleluasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

“Dalam jawapan beliau berkata penggunaan jentera kerajaan adalah satu kesalahan melainkan kalau ia berbentuk penerusan program yang telah diluluskan terlebih dahulu.

“Saya rasa ini adalah ‘double standard’ kerana di dalam petisyen pilihan raya yang mereka kemukakan kepada Kuala Terengganu, ia adalah berkaitan dengan program kerajaan yang telah (diluluskan) bukan sebulan, dua bulan diluluskan terlebih dahulu sebelum pilihan raya, malah diluluskan sebelum daripada tahun berkenaan,” ujarnya.

Malah, katanya, peruntukan tersebut telah diumum ketika pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu jauh sebelum berlangsungnya pilihan raya itu sama seperti alasan yang diberi Anwar.

“Jadi nampaknya jawapan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini macam double standard. Kalau kerajaan buat tak apa, kalau pembangkang buat petisyen, sebagainya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pihak kerajaan untuk konsisten dalam sebarang keputusan atau tindakan.

Amzad menyatakan perkara itu dalam satu Video TikTok (VTT) yang dimuatnaik di laman TikToknya hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu pada 27 Jun 2023 membatalkan kemenangan Amzad bagi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akibat petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Antara isu yang dibangkitkan dalam petisyen adalah dakwaan yang PAS menyogok pengundi menerusi bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dengan program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa antara 15 hingga 17 November tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi.

PAS kemudiannya memutuskan tidak membuat rayuan dan berdepan pilihan raya semula yang diadakan bersekali Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos tahun lepas menyaksikan Amzad mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti lebih tinggi iaitu 47,266 undi berbanding 40,907 pada PRU15. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

Ulasan