Kelantan perkenal tadbir urus Islam ke peringkat global

Kelantan perkenal tadbir urus Islam ke peringkat global
July 9, 2024

Kamaruzaman Mohamad

KOTA BHARU: Persidangan Antarabangsa 2024 Kelantan Membangun Bersama Islam (MBI) menjadi medan untuk memperkenalkan tadbir urus secara Islam yang dilihat lebih realistik dan praktikal.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Kamaruzaman Mohamad berkata, pengalaman kerajaan Kelantan lebih tiga dekad perlu dikongsi dengan semua pihak.

Katanya, dalam tempoh tersebut Kelantan merupakan satu-satu negeri di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan pentadbiran selari dengan sistem Islam.

“Sejak dasar MBI diperkenalkan pelbagai pembaharuan dilaksana dan ia terbukti mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh lebih tiga dekad.

“Justeru persidangan ini merupakan platform untuk meneliti evolusi pentadbiran Islam di Kelantan, selain memetakan hala tuju dan strategi pada masa depan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa 2024 Kelantan MBI di sini hari ini.

Hari ini enam kertas kerja dibentangkan oleh tokoh akademik termasuk Dr Mohd Fadli Ghani, Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar dan Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi.

Selain itu wakil antarabangsa antaranya Prof Dr Salim Timothy P. Daniels dari Hofstra University, Prof Madya Dr Abdullah Sani Usman dari Aceh dan Mufti Brunei Dato’ Paduka Setia Ustaz Awang Abdul Aziz Juned.

Kamaruzaman yang juga ADUN Gual Periok berkata, persidangan bertemakan perubahan dan cabaran tadbir urus secara Islam menggariskan tiga objektif penganjurannya.

“Persidangan ini menganalisa sejarah pertapakan Islam di Kelantan yang berasaskan sumber maklumat yang sahih.

“Kedua memperkenalkan kejayaan-kejayaan pentadbiran MBI sehingga ke peringkat global dan meneliti masa depan pembangunan serta pentadbiran Kelantan secara strategik,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

Ulasan