Macron terima peletakan jawatan PM Perancis

Macron terima peletakan jawatan PM Perancis
GABRIEL ATTAL
Oleh Athirah Huda Zalhe
17 Julai 2024, 2:40 pm


PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron secara rasmi menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Gabriel Attal, berikutan kekalahan parti pemerintah dalam pilihan raya Parlimen.

Bagaimanapun, Attal diminta untuk terus mengetuai kerajaan sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu.

Gabungan baharu New Popular Front (NFP), yang memenangi kerusi terbanyak dalam pusingan kedua pengundian, belum mencadangkan calon untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Dalam satu kenyataan, Istana Elysee memaklumkan Presiden Macron menggesa Republikan untuk bekerjasama membentuk kerajaan baharu.

Attal tidak memberikan sebarang kenyataan kepada wartawan ketika beliau meninggalkan mesyuarat Kabinet terakhir kerajaannya di Istana Elysee, semalam.

Sehingga kerajaan baharu dibentuk, kerajaan sementara dipimpin Attal hanya boleh mengawasi operasi pentadbiran dan campur tangan sekiranya berlaku kecemasan.


Ia juga dijangka berperanan untuk memastikan temasya Sukan Olimpik yang bermula pada 26 Julai ini berjalan lancar.

Kerajaan sementara tidak boleh mengemukakan undang-undang baharu kepada Parlimen atau membuat sebarang perubahan besar.

Attal, 34, dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis pada 9 Januari, menggantikan Elisabeth Borne.

Beliau menjadi terkenal semasa pandemik Covid-19 dan berkhidmat sebagai menteri pendidikan sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri.- BBC

Ulasan