July 17, 2024
Afnan Hamimi dalam forum berjudul, Politik Sesatkan Minda Anak Muda? di Kuala Lumpur pada malam ini, 17 Julai 2024.
KUALA LUMPUR: “Apabila kerajaan bertindak untuk tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, saya rasa proses demokrasi akan menjadi tidak berapa cantik, tempang.
“Sepatutnya beri kepada mereka. Soal kerajaan nanti bimbang kalau pembangkang dapat peruntukan, mereka akan lebarkan pengaruhnya, itu bila pilihan raya kita bertanding balik.”
Itu hujah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden sambil menyatakan bahawa itulah apa yang dimaksudkan ‘padang’ sama rata, di mana masing-masing ada kekuatan yang sama, kelebihan peruntukan yang sama kerana rakyat akan menilai pada individu dan bukannya terpengaruh soal peruntukan mahupun duit.
“Kita tak nak kita ajar rakyat ‘nak undi saya, anda kena sokong saya, saya bagi peruntukan. Tak sokong, saya tak bagi peruntukan’.
“Tak boleh, itu politik lama yang kita nak tolak. Takkan (mana mungkin) kita nak ajar rakyat jadi macam haiwan…nak makan boleh tapi kita kena pegang tali, tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum berjudul, Politik Sesatkan Minda Anak Muda?, di sini, malam ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri; Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Hanif Jamaludin; dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.
Beliau dalam pada itu menegaskan, politik era baharu perlu dimulakan dengan pemimpin berani dan bersedia untuk menegur rakyat sekiranya mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, serta tidak takut untuk hilang undi disebabkan perbuatan berkenaan.
“Kalau pemimpin takut untuk menegur rakyat yang buat benda tak betul sebab dia takut hilang undi, saya rasa itu akan menjadikan politik itu terus dianggap buruk.
“Pemimpin tidak boleh hanya ikut semua yang rakyat nak (mahukan).
“Dalam masa yang sama, dia kena berkhidmat kepada rakyat yang memerlukan. Tapi mana yang salah, kena sebut salah. yang mana betul, kena sebut betul.
“Dia kena berprinsip. Kalau dia hanya ikut semua, dia akan merosakkan kepimpinan dan rakyat di bawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan