Mayat disahkan Farah Kartini, diserah keluarga hari ini
AHLI keluarga Nur Farah Kartini tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh pada 11.12 pagi.
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
18 Julai 2024, 11:52 am
SUNGAI BULOH: Mayat wanita ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Isnin lalu disahkan Nur Farah Kartini Abdullah, 25.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya telah menerima keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) hari ini.
Katanya, jenazah akan serahkan pada waris, hari ini.
“Ya, mayat akan diserahkan hari ini. DNA positif, ia adalah Farah (Nur Farah Kartini),” katanya hari ini.
Dalam pada itu, beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini kira-kira pukul 11.12 pagi
Turut kelihatan van jenazah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai akan membawa jenazah arwah untuk dikebumikan.
Sementara itu, abang arwah, Mohd. Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.
“Jenazah kemudiannya akan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.
“Butiran berkaitan akan saya sampaikan nanti,” katanya.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan