Mengenang sedekad tragedi MH17: Tidak pernah walau sesaat kami lupakan


Mengenang sedekad tragedi MH17: Tidak pernah walau sesaat kami lupakan

SUDAH 10 tahun tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak terkorban.

Oleh ADLINAHANI KHALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan SAFINA RAMLI
17 Julai 2024, 8:00 am


PEJAM celik, pejam celik sudah 10 tahun tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak terkorban.

Kami, antara wartawan yang ditugaskan membuat liputan Pesawat Boeing 777-200 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine sejak hari pertama kejadian sehingga ke hari pengebumian. Jadi, tragedi ini begitu dekat, memberi kesan dan antara momen penting bagi seorang wartawan.

Dalam banyak temu bual ketika itu, sama ada melalui panggilan telefon, Whatsapp atau bersemuka, tugasan untuk mendapatkan komen ahli keluarga Ketua Pramugari, Allahyarham Dora Shahila Kassim, sehari sebelum sambutan Aidilfitri begitu menyentuh hati.

Selepas mendapat persetujuan daripada adik Allahyarham, Darlina Kwan, petang itu kami terus bergerak ke sebuah kondominium di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Kami juga mendapatkan kebenaran untuk menemu bual anak tunggal arwah, Diyana Yazeera Yazli, yang berusia 15 tahun ketika itu.

Apabila sampai, kami perasan dua atau tiga orang wartawan dan jurugambar media antarabangsa meninggalkan rumah tersebut. Kami dijemput masuk dan berbual dengan Darlina kerana menurut adiknya itu, Diyana Yazeera enggan ditemu bual dan masih dalam keadaan bersedih serta trauma.

Lebih kurang 15 minit kami berbual sekali gus bagi mendapatkan bahan berita, tiba-tiba Diyana Yazeera keluar dari bilik lalu berkata dalam bahasa Inggeris dengan nada yang terketar-ketar seperti sedang menahan air mata, “Salahkah saya untuk merasa sedih atas apa yang berlaku? Saya kehilangan seorang ibu dan saya tiada siapa lagi”.
DIYANA Yazeera

Mendengarkan itu, kami membiarkan remaja ini menangis melepaskan segala rasa sedih yang ditanggung. Situasi itu agak janggal. Kami bertiga (termasuk jurugambar) saling berpandangan antara satu sama lain di ruang tamu dalam suasana yang hanya ditemani tangisan seorang anak yang ‘perit’ kerana kehilangan ibunya secara tiba-tiba.

Hanya selepas Diyana Yazeera kembali tenang, barulah dia terbuka untuk menjawab soalan-soalan kami. Dalam hati kami, kuat sungguh remaja ini, walaupun sedang diuji dengan ujian yang begitu berat, dalam masa sama sedang berjuang untuk mengambil Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi tetapi masih terbuka untuk membantu para pengamal media mendapatkan bahan berita, lebih-lebih lagi esoknya sambutan Aidilfitri. Dia sudah tahu yang dirinya akan menjadi ‘bahan berita’.



Selepas sedekad, hari ini, peristiwa hitam ini kembali berlegar-legar dalam fikiran, tertanya-tanya bagaimana kehidupan Diyana Yazeera? Usaha kami untuk mendapatkannya gagal, tetapi kami percaya gadis berusia 25 tahun itu baik-baik sahaja dan sedang melalui kehidupan dengan membalut segala nasihat dan kenangan arwah ibunya.

Pun begitu, kami berjaya mendapatkan kembali Darlina, melalui perbualan telefon yang ringkas, dia memberitahu keluarganya meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun banyak perubahan dalam tempoh ini.
Gelagat Dora Shahila yang happy go lucky sentiasa dirindui kerana arwah adalah ‘penyinar’ dalam keluarga. Arwahlah yang sentiasa tentukan hal berkaitan urusan keluarga dan menyatukan keluarga dalam pelbagai aktiviti.

Abang mereka, Don Shahidan juga telah menghadap Ilahi, dua tahun lalu akibat komplikasi kencing manis sementara ibu, Hasnah Mohd. Yusof, 82 pula kurang daya ingatan, berkemungkinan kerana terlalu memikirkan peristiwa hitam tersebut atau mungkin juga kerana faktor umur. Darlinalah yang mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya.

Dalam perbualan itu, sempat juga kami bertanyakan tentang anak tunggal arwah, jelas Darlina, Diyana Yazeera baik-baik sahaja, sudah menerima takdir dan memaafkan. Dalam perkembangan baharu, anak buahnya itu kini tinggal dengan datuk saudaranya di Petaling Jaya, Selangor selepas berjaya merangkul segulung Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang di Cardiff University.

“Impian Diyana Yazeera untuk menjadi doktor terkubur kerana dia begitu terkesan dengan tragedi ini sehingga mengganggunya untuk menguasai mata pelajaran Sains semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pun begitu, dia masih berjaya dalam pelajaran walaupun perlu ‘lari’ dari bidang yang pernah dicita-citakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SEMOGA KEMENANGAN MILIK KAMIAMMAR Syarif bersama bapanya, Mohd Ghafar Abu Bakar.

‘Sedar tak sedar, sudah sedekad ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga, masih segar dalam ingatan kami semua mengenai apa yang menimpa ayah’.

Ammar Syarif, 35, anak kepada Penyelia Penerbangan Kabin pesawat MH17, Mohd. Ghafar Abu Bakar menceritakan, ketika kejadian, mereka dimaklumkan oleh jiran mengenai sebuah pesawat milik Malaysia terhempas.

“Menerusi berita, kami dimaklumkan pesawat yang terlibat adalah MH17 dan kami segera memeriksa jadual bertugas ayah dan mendapati kod tugasannya sama dengan kapal terbang yang terhempas.

“Kami terus menunggu maklumat lanjut sehinggalah Malaysia Airlines mengesahkan insiden tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keputusan yang ditetapkan mahkamah. Ammar Syarif berkata, waris mangsa berpuas hati dengan siasatan dan proses perbicaraan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Belanda berhubung tragedi tersebut.

Di tanya memori yang paling diingati dia bersama arwah bapanya, Ammar Syarif yang kini bekerja sebagai pegawai eksekutif operasi di sebuah syarikat memberitahu, bapanya sering membawa mereka melancong ke luar negara jika terlibat dalam penerbangan jangka panjang.

Katanya, arwah bapanya seorang yang sangat memahami dan penyayang.

“Setiap kali ayah ada penerbangan yang panjang (long flight), dia akan bawa kami ke luar negara, itu kelebihan bekerja dengan syarikat penerbangan dan itulah memori yang akan kami kenang sampai bila-bila.

“Walaupun kami amat terkesan dengan tragedi yang berlaku, kami tetap teruskan kehidupan dan jika arwah ayah masih hidup, dia juga mahu melihat kami hidup dengan bahagia,” katanya.

NASIB MANGSA BELUM TERBELA

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan kesalahan dan mengenakan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine secara in absentia (tanpa kehadiran) dengan kesalahan membunuh susulan peranan mereka dalam menembak jatuh pesawat MH17.

Namun, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko sehingga hari ini masih belum menerima hukuman. Keadilan yang diharapkan oleh waris masih lagi menjadi tanda tanya dan tidak terbela.

Mahkamah turut memerintah tiga lelaki itu membayar lebih 16 juta Euro sebagai pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

Proses perbicaraan nahas itu berdepan pelbagai cabaran berikutan konflik berterusan antara Ukraine dengan Rusia yang akhirnya menyaksikan Moscow menceroboh Kyiv pada 20 Februari 2014.

Russia dan Ukraine saling tuduh menuduh berhubung nahas MH17 sehingga mahkamah Belanda memutuskan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang disasarkan dari sebuah ladang berhampiran di Pervomaisk yang terletak di timur Ukraine.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kekal dengan komitmen mencari kebenaran untuk MH17. – UTUSAN

Ulasan