Nur Farah Kartini dibunuh kekasih


Nur Farah Kartini dibunuh kekasih
Suspek yang juga anggota polis dibawa ke lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Oleh MASZUREEN HADZMAN, AIDIEL ZABIDI dan FADZIL ZAINOL
17 Julai 2024, 7:40 am


PETALING JAYA: Polis sahkan le­laki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pe­nemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, adalah teman lelaki mangsa yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun.

Suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang kelmarin.

Katanya, ketika Nur Farah ditemukan, keadaan mayat sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari. Jadi, tidak dapat dipastikan kecederaan yang ada.

“Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Nur Farah yang berasal dari Miri, Sarawak dan dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati di ladang kelapa sawit di Hulu Selangor.


Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 6 petang dipercayai dibunuh individu dikenalinya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, anggota tersebut bertugas di Balai Polis Slim River dan sudah ber­khidmat selama lima tahun.

“Saya sahkan seorang anggota polis daripada Balai Polis Slim River kini disiasat berhubung kes berkenaan.

“Pasukan siasatan daripada Muallim telah menjalankan siasatan berasaskan kertas siasatan orang hilang itu dan telah menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian tersebut.

“Apabila kita semak tempat berlaku kejadian tersebut berlaku di Selangor. Sehubungan itu kertas siasatan akan dibuka oleh IPK Selangor,” katanya.

Sementara itu, abang Nur Farah Kartini, Mohd. Farriza Azmi Abdullah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, arwah tidak pernah nampak seperti ada masalah dan sentiasa ceria.

Kata beliau, adiknya itu sa­ngat rapat dengan ibu dan abang-abangnya yang lain.

“Kali terakhir arwah pulang ke kampung pada Hari Raya Aidiladha namun ketika itu pun arwah jarang berjumpa dengan saya,” ceritanya.

Jelas Mohd. Farriza, arwah seperti berahsia dengannya dan kalau ada masalah memilih untuk bercerita dengan ibu atau abang-abangnya yang lain.

Ditanya, suspek yang ditahan, Mohd. Farriza berkata, dia tidak mengenali mahupun mengetahui mengenai lelaki itu.

Sementara itu, kakak ipar mang­sa, Syeril Norsyuhada Suhaimi berkata, buat masa ini mereka menunggu laporan forensik berhubung pembunuhan Nur Farah.

Syeril berharap orang ramai termasuk media tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga. – UTUSAN

Ulasan