[Parlimen] Bung Moktar ajak Rafizi lawat kawasan miskin di Sabah
DATUK Bung Moktar Radin ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Oleh ASLINDA NASIR
17 Julai 2024, 4:51 pm
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengajak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk turun ke Sabah dan mengukur secara tepat tafsiran kemiskinan di negeri itu.
Ini kerana menurut beliau, tafsiran kemiskinan yang dilaporkan Rafizi itu tidak tepat, sekali gus Bung memberitahu beliau sanggup membawa Rafizi turun padang meskipun mengambil masa tiga hari, asalkan boleh memberi gambaran yang betul mengenai kemiskinan di Sabah.
“Penjelasan panjang lebar. Sebetulnya di Sabah ini populasi negerinya 3.9 juta. Jadi saya ingin tanya Yang Berhormat Menteri Ekonomi, bagaimana ukuran tafsiran kemiskinan ini? Di Sabah dan Semenanjung. Sebab di Sabah ini, dua-dua daerah termiskin Tongod dan Kinabatangan ini di bawah parlimen saya.
“Keluasannya sikit lagi macam keluasan negeri Pahang. Jadi saya rasa Yang Berhormat ada tersilap sedikit menafsir, dan saya rela bawa Yang Berhormat dua tiga hari, kita turun di kawasan-kawasan miskin tegar ini. Biar Yang Berhormat lihat gambaran macam mana corak kemiskinan. Jalan raya tidak ada, elektrik tidak ada, air tidak ada.
“Jadi saya tidak tahu di Sabah cuma 6,000 (miskin tegar), saya rasa itu penghinaan kepada orang-orang miskin di Sabah. Saya minta YB berikan bagaimana ukuran kemiskinan di Sabah dilaksanakan,” katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menjawab soalan asal Bung Moktar berhubung langkah-langkah kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah, Rafizi berkata, sebanyak tujuh daripada 10 daerah termiskin di seluruh negara direkodkan di negeri berkenaan.
Menurut beliau, pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan di Sabah juga lebih tinggi iaitu RM1,218 sebulan berbanding kadar nasional sebanyak RM1,198.
Justeru, katanya, risiko isi rumah di Sabah untuk berada dalam kategori miskin tegar adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Berdasarkan senarai insiden kemiskinan tegar mengikut daerah termiskin di Sabah, paling tinggi di Tongod 5.9 peratus. Kalau kita bandingkan di peringkat nasional hanya 0.2 peratus.
“Beluran (lima peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (empat peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau (2.4 peratus) dan Lahad Datu (2.4 peratus),” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan