PAS pertahan dasar negeri Kedah Bebas Judi

PAS pertahan dasar negeri Kedah Bebas Judi
July 10, 2024

ALOR SETAR: PAS menyokong langkah kerajaan negeri menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan menjadikan Kedah sebagai negeri bebas judi, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

Katanya, alasan yang dikemukakan oleh syarikat judi kononnya tindakan menghapuskan aktiviti perjudian di Kedah tidak mempertimbangkan kepelbagaian kaum di negeri ini adalah tersasar dari landasan sebenar.

“Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pemilik kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri Kedah berikutan keputusan tidak menyambung serta tidak mengeluarkan lesen premis perjudian bermula 1 Januari 2023 lalu.

Melalui permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SM Lottery Sdn Bhd, keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri itu didakwa adalah tidak sah serta tidak rasional, melanggar Perlembagaan serta gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Dalam pada itu, kata Ahmad, dasar ‘Kedah Bebas Judi’ yang dilaksanakan dengan penutupan premis perjudian di negeri ini adalah tindakan tepat, malah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tindakan tidak menyambung serta tidak mengeluarkan lesen premis judi yang dilaksanakan Januari tahun lalu sememangnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan dilaksanakan melalui PBT masing-masing.

“Garis pemisah perundangan kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga jelas,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu dalam ulasan lanjutnya merasa kesal kerana pemilik syarikat perjudian tersebut hanya lebih memikirkan keuntungan sehingga mengenepikan kesan ketagihan judi yang telah merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat.

Justeru, pihaknya menyokong langkah kerajaan negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan telah dibuat itu demi kebaikan rakyat.

“Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sentiasa bertanggungjawab menjaga keutamaan rakyat keseluruhannya,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

Ulasan