Pengundi bukan Melayu tolak PH di Sungai Bakap


Pengundi bukan Melayu tolak PH di Sungai Bakap
July 8, 2024

KOTA BHARU: Keupayaan PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu lepas memperlihatkan gelombang rakyat masih menular.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, gelombang itu diyakini turut melanda DUN Nenggiri bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Ogos depan.

Katanya, gelombang rakyat di DUN Sungai Bakap dijangka akan terus berkembang di DUN Nenggiri, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ia memperlihatkan isyarat kerajaan Madani yang ada sekarang tidak disenangi rakyat kerana banyak polisi dilaksana menyusahkan mereka.

“Kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 kepada 8 peratus dan kenaikan mendadak harga diesel memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan rakyat,” katanya di sini.

Pada PRK Sungai Bakap Sabtu, lepas calon PN, Abidin Ismail mendapat 13,870 undi berbanding calon PH Dr Joohari Ariffin (10,222 undi).

Majoriti diraih calon PN meningkat berkali ganda daripada 1,563 undi pada PRN Ogos 2023 kepada 4,267 undi.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, apa yang berlaku di Sungai Bakap berbeza dengan PRK Kuala Kubu Baharu di mana jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir setara.

Namun, kata beliau di Sungai Bakap pengundi bukan Melayu turut menolak PH yang menjadi deposit tetap mereka sebelum ini.

“Ini suatu perkembangan menarik dan ia membuktikan majoriti pengundi menolak dasar dan kerajaan Madani,” ujarnya.

Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada petugas pilihan raya dari seluruh negara dan Kelantan yang bertungkus lumus membantu kempen calon PN di Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

Ulasan