Pengundi Melayu bukti kemenangan di Sungai Bakap



Pengundi Melayu bukti kemenangan di Sungai Bakap
PILIHAN raya kecil (PRK) Sungai Bakap bukti pengundi Melayu menjadi penentu keputusan ekoran majoriti penduduk kaum itu keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi. – GAMBAR HIASAN
Oleh Meja Rencana
16 Julai 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

SEMENJAK Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beberapa pilihan raya kecil (PRK) seterusnya, peratusan orang Melayu keluar mengundi selalunya adalah rendah. Walaupun pelbagai rayuan dibuat, namun orang Melayu tetap tidak keluar mengundi seperti yang diharapkan.


Ada pelbagai analisis dibuat sebelum ini bagi menjelaskan kenapa orang Melayu tidak keluar mengundi. Antaranya, orang Melayu telah bosan dengan politiking pemimpin-pemimpin Melayu, pemimpin yang korup, letih dengan politik dan sebagainya.

Namun, PRK Sungai Bakap memberi satu gambaran baharu, dengan peratusan orang Melayu yang keluar mengundi dilaporkan mencecah 70 peratus berbanding PRK sebelum-sebelum ini yang menyaksikan peratusan keluar mengundi di bawah 50 peratus sahaja.

Kenapa kali ini orang Melayu keluar mengundi? Apakah faktor yang menyebabkan pengundi Melayu Sungai Bakap keluar dengan peratusan yang tinggi, sedangkan orang Melayu di kawasan lain sebelum ini amat liat untuk bangun bersiap, naik kenderaan menuju tempat mengundi dalam panas, dalam hujan untuk beratur hanya untuk membuat satu pangkah atas sekeping kertas? Mungkin satu kajian patut dibuat.

Bagaimanapun, keputusan Sungai Bakap memberi gambaran berbeza, namun adakah momentum ini akan merebak ke seluruh negara apabila pilihan raya umum akan datang diadakan? Atau seawalnya, kita boleh melihat hasil keputusan nanti sekiranya enam lagi pilihan raya kecil akan diadakan.


Apa yang menarik di Sungai Bakap ialah, bukti kemampuan pengundi Melayu menjadi penentu keputusan pilihan raya sekiranya semuanya keluar menjalankan tanggungjawab yang dituntut.

Untuk masa akan datang, pengundi Melayu keseluruhannya harus teruskan komitmen untuk keluar mengundi dan menjadi penentu kepada penjaga Tanah Melayu ini. Walau bagaimanapun, tahniah kepada pengundi-pengundi Melayu Sungai Bakap yang berjaya membuat pilihan siapa yang patut menjadi pemimpin mereka.-UTUSAN

AZMAN MOHD HASHIM
Sekretariat Tanah Air

Ulasan