‘Perjanjian dah buat, perlembagaan dah ada, jangan ikut sedap’


‘Perjanjian dah buat, perlembagaan dah ada, jangan ikut sedap’
July 12, 2024

Dato' Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia bagi kestabilan pembaharuan perpaduan sosial dan inklusif.

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, salah satu Usul Percaya dan Rang Undang-Undang Perbekalan yang Pakatan Harapan (PH) sebutkan adalah setiap parti dan pihak hendaklah memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut klausa 49A.

Beliau berkata, pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti tersebut perlu diambil kira sekiranya terdapat kegagalan, keengganan atau kecuaian.

“Sebab itu saya nak ingatkan kalau perjanjian persefahaman (MoU) pun dah bagitahu hanya parti yang sepatutnya menentukan kerana parti dan pemergian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud artikel 49A(1).

“Ini apa ini? Perjanjian dah buat, perlembagaan dah ada, jangan ikut sedap. Kalau kita ikut sedap, bukan hanya apa yang dikatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tempoh hari.

“Saya nak bagitahu yang menjahanamkan adalah keputusan salah yang dibuatkan oleh perwakilan ini, ini yang akan menjahanamkan perlembagaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 berkaitan keputusan Yang Dipertua berkenaan ‘sebarang perkara tafsir dalam mana-mana peraturan mesyuarat atau berkenaan kelaziman adalah muktamad’ di Dewan Rakyat, petang semalam.

Hamzah berkata, tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi Nenggiri baru-baru ini tepat, jika dibandingkan dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Tindakan Speaker Kelantan betul kerana beliau memastikan ada kekosongan kerusi. Biarkan mereka lawan saya di mahkamah, sama ada mereka masih ahli Bersatu atau tidak. Itulah cara Speaker dan kepastian yang harus diikut dalam perlembagaan.

“Tan Sri, awak hendak menjadi Speaker yang terbaik dan awak mesti bermula dengan mencipta masalah ini. Jadi, saya minta supaya Tan Sri faham kerana keputusan Tan Sri adalah merupakan satu keputusan yang salah.

“Saya ingin tinggalkan dewan. Terima kasih dan saya percaya apa pun keputusannya adalah keputusan yang dibuat kerana sepatutnya Speaker tidak mengikut perjanjian yang dibuat oleh gabungan-gabungan tersebut,” katanya.

Menjahanamkan negara, nodai Perlembagaan

Tambahnya, bidang kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah untuk memastikan kekosongan ahli dan bukannya membuat keputusan untuk mengekalkan kerusi bagi keenam-enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Beliau berkata, keputusan Johari yang salah akan menjahanamkan negara dan menodai kesucian Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum Tan Sri nak sebutkan beberapa perkataan keputusan ke apa sahaja dalam dewan ini, saya nak bertanyakan sesuatu, saya adalah Setiausaha Agung parti, siapa yang lebih tahu sama ada ahli itu melepaskan keanggotaannya atau dia tidak lagi menjadi ahli parti, sudah tentulah Setiausaha Agung, bukannya Yang Dipertua.

“Begitu juga dengan parti di sebelah sana, mereka yang lebih tahu siapa anggota parti yang telah melepaskan keanggotaannya ataupun telah menjadi anggota parti atau berhenti menjadi ahli. Sebab itu, bila Tan Sri membuat keputusan berkenaan ini seolah-olah lebih tahu daripada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 berkaitan keputusan Yang Dipertua berkenaan ‘sebarang perkara tafsir dalam mana-mana peraturan mesyuarat atau berkenaan kelaziman adalah muktamad’.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu berhak untuk mempersoalkan perkara itu dan menjalankan sebarang tugas mengikut keputusan parti yang mempunyai pegawai undang-undang.

Hamzah berkata, setiap parti bukan sengaja untuk melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati seperti apa yang RSN Rayer (PH-Jelutong) katakan baru-baru ini.

“Yang Dipertua saya nak memperingatkan, apa yang kita lakukan ini adalah kerana kita tidak mahu perkara yang ditimbulkan oleh semasa yang menjadi pembangkang menggunakan perkataan jahanam itu.

“Bila kita sebut melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti, ia bukan dikira selepas atau sebelum pilihan raya.

“Saya nak bagitahu kepada semua yang ada di dalam dewan bersama Yang Dipertua, mereka yang berubah tempat di sebelah sana (blok kerajaan) masih lagi mengaku menjadi ahli Bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

Ulasan