Perlembagaan Persekutuan daulatkan mahkamah rakyat, bukan…



Perlembagaan Persekutuan daulatkan mahkamah rakyat, bukan…
July 12, 2024


KUALA LUMPUR: “Semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini sesungguhnya adalah bagi memelihara hak rakyat daripada dikhianati wakil-wakil rakyat yang culas dan curang.”

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sewajarnya pihak kerajaan termasuklah Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negeri perlu mencontohi sebagaimana di Kelantan dalam membela dan mempertahankan hak rakyat tidak kiralah Speaker itu dari parti mana sekalipun.


“Yang khianat tidak wajar dipertahankan dan biarlah kedudukan mereka kembali diputuskan dalam Mahkamah Rakyat iaitu melalui Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Perlembagaan Persekutuan mendaulatkan mahkamah rakyat, bukannya beri kuasa pada Speaker atau mana-mana pihak lain, hormatilah Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Roslan, apa yang berlaku di Dewan Rakyat dan di Dewan Negeri Selangor kini menjadi bualan hangat rakyat di bawah di mana Perlembagaan Persekutuan, yang kita diminta patuhi kini dicemari.

Dalam pada itu, beliau berkata, benar bukan semua mahir dan terlatih dalam bidang undang-undang, namun sebagai rakyat yang tinggal di sebuah negara demokrasi berparlimen berhak bersuara.

Apa yang penting katanya, rakyat memahami bahawa wakil-wakil rakyat yang telah dipilih ini dulu adalah dipilih kerana bertanding atas tiket parti tertentu.

“Dalam kes ini Perikatan Nasional (dan simbol PAS di Kelantan). Kini rakyat kecewa kerana mereka telah berpaling tadah.

“Mereka yang berkenaan memilih untuk tidak lagi bersama perjuangan parti asal dan kini menyokong pihak Kerajaan.

“Dalam bahasa mudah mereka telah mengkhianati mandat dan kepercayaan yang rakyat berikan yang memungkinkan mereka menang dahulu.

“Jika rakyat mahukan parti pemerintah (hari ini Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), pasti rakyat di kawasan berkenaan telah memenangkan PH-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tetapi tidak.

“Kini, isunya bukan hak mereka tapi hak dan maruah rakyat. Kerana itu Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan perkara berkenaan ‘lompat parti’ ini agar sesiapa sahaja yang memilih untuk curang perlu dihukum dengan mandat dikembalikan pada rakyat.

“Biarlah rakyat yang memutuskan sama ada mereka kekal atau calon lain lebih wajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

Ulasan