Rakyat terancam oleh pukal isu ditimbulkan PH



Rakyat terancam oleh pukal isu ditimbulkan PH
July 9, 2024

NIBONG TEBAL: Rakyat merasa terancam oleh isu-isu yang timbul secara pukal daripada keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mutakhir ini, menyebabkan mereka bersandar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memperjuangkannya.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, keadaan tersebut antara faktor PN mendapat sokongan dan kepercayaan pengundi pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap dengan memperolehi majoriti lebih besar.

“Rakyat rasa rutin kehidupan depa (mereka) terancam dengan kenaikan harga diesel. Ramai sebenarnya yang guna diesel ini. Dalam masa sama harga barangan yang jadi keperluan harian juga naik mendadak, punca dari diesel naik harga juga.

“Ketika sama isu BlackRock, rakyat terasa ini satu ancaman kepada negara, kepada masa depan generasi anak cucu cicit depa. Dalam kempen (PRK) depa (PH) juga mainkan isu perkauman yang rakyat rasa ini ancaman keharmonian sesama rakyat.

“Depa (PH) dalam isu tempatan juga tak jujur berkenaan masalah bekalan ayaq (air) di Sungai Bakap. Jadi penduduk rasa terancam dari segi jaminan dan kepercayaan akan dapat ayaq lepas (tamat PRK) ini nanti,” ujarnya

Demikian semua isu ini terjadi isu pukal ketika PRK Sungai Bakap katanya, menyebabkan rakyat khususnya pengundi semakin tidak percaya kepada Kerajaan PH baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, lalu terus berharap atau beralih sandaran kepada PN.

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang ini juga berpandangan, isu merasa terancam ini tidak termasuk kepercayaan yang hilang akibat sikap berdolak-dalih atau ‘cakap tidak serupa bikin’, malah dilihat berbohong Kerajaan PH dalam banyak isu.

Ketika sama akui beliau, peranan media sosial yang menyebabkan maklumat sampai ke semua peringkat atau segmen rakyat di mana membolehkan mereka menilai dan membuat pertimbangan terhadap pelbagai isu disajikan PH mahupun PN.

Beliau juga turut memuji anak muda yang disifatkannya telah memainkan peranan cukup penting dalam membawa perubahan dan kesedaran serta pencetus kebangkitan dengan memberi isyarat jelas kepada pemerintahan PH.

Kongsi beliau, data pengundian PRK N.20 DUN Sungai Bakap menunjukkan anak muda memberi undi terbesar kepada PN hingga semua sembilan saluran mengundi golongan itu di lapan Unit Daerah Mengundi (UDM) telah dimenangi PN.

Tambah beliau, pihaknya juga mendapati berlaku peningkatan undi yang diperolehi daripada kaum Tionghua dan kaum India berbanding diterima PN pada PRU15 dan PRN15 lalu dan itu merupakan satu petanda baik.

Begitu juga katanya, kebanyakan pengundi Cina dan India tidak keluar mengundi sebenarnya satu tindakan protes yang menjadi isyarat jelas kepada kerajaan di Putrajaya dan kerajaan negeri, sekali gus menyebabkan kemenangan besar kepada PN.

“Gelombang Sungai Bakap akan terus melanda ke seluruh negara. Rakyat tidak rela diperbodohkan lagi oleh Kerajaan PH. Kejayaan cemerlang PN ini mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada pelbagai pihak dari seluruh pelusuk negara,” ujar beliau

ADUN Sungai Dua itu juga yakin, keputusan di Sungai Bakap akan menjadi momentum berterusan yang akan menghakis kepercayaan rakyat kepada PH dan membesarkan gelombang sokongan kepada PN. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

Ulasan