RM100 juta: Jailani ‘bersihkan’ di mahkamah



RM100 juta: Jailani ‘bersihkan’ di mahkamah
Datuk Muhammad Jailani Khamis
Oleh MEDIA MULIA
21 Julai 2024, 7:43 am


MELAKA: “Saya bersedia membersihkan isu kerusi saya di mahkamah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis sebagai respons kepada pendedahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi melalui perkongsian video di platform TikTok menunjukkan bukti bahawa Muhammad Jailani menandatangani perjanjian RM100 juta sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini selari dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebelum ini yang mengingatkan Muhammad Jailani agar bersedia sekiranya didenda RM100 juta oleh Barisan Nasional (BN) kerana bertindak melompat parti.

Muhammad Jailani berkata, beliau turut bersedia mendedahkan dan menentang setiap taktik buruk UMNO yang didakwa tidak selari dengan undang-undang.

“Saya bersedia mendedah dan menentang setiap taktik buruk UMNO yang tidak selari undang-undang dan tidak berperlembagaan demi untuk kebaikan ramai lagi ahli yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, ketika mengulas berkenaan ‘taktik buruk UMNO’ seperti didakwanya, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Melaka itu enggan memberikan penjelasan.


“Insya-Allah bila tiba waktunya tuan, puan akan dimaklumkan,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, pendedahan itu sekali gus menafikan dakwaan Muhammad Jailani bahawa beliau tidak terikat sebarang perjanjian dengan UMNO apabila menyertai Pas.

“Ramai terkeliru dengan kenyataan Jailani. Hakikatnya untuk pengetahuan setiap calon mewakili BN, sama ada PRN atau pilihan raya umum (PRU) lalu semuanya menandatangani satu perjanjian dinamakan perjanjian perwakilan calon BN,” katanya.

Sementara itu, manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 didakwa dimungkiri menjadi antara punca Muhammad Jailani tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

Muhammad Jailani berkata, persoalan berkenaan kos ganti rugi disebabkan melanggar aku janji ditandatangani semua calon semasa PRN Melaka akan dijawab kemudian.

“Saya tidak sanggup berbohong dengan apa yang manifesto BN telah janjikan pada rakyat Melaka, kerana rakyat mengundi berpandukan dengan janji-janji yang kami telah nyatakan dalam manifesto PRN 2021.

“Khusus juga orang Melayu memberi undi kepada kami atas dasar tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
“Saya dan rakan-rakan dijanjikan juga, apa pun berlaku UMNO, BN stand alone. Jadi pembangkang yang bermaruah, ‘No Anwar, No DAP’. – UTUSAN

Ulasan