Rundingan calon PRK DUN Nenggiri: Keterbukaan PN


Rundingan calon PRK DUN Nenggiri: Keterbukaan PN
July 8, 2024

KANGAR: Rundingan mengenai calon yang bakal diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan masih terbuka antara PAS dan BERSATU.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, PAS bersedia bertanding di kerusi berkenaan dan percaya bahawa rundingan tersebut tidak akan membawa kepada perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN).

“PAS lebih bersedia jika dipilih bertanding di kawasan berkenaan dan saya percaya rundingan bagi pemilihan calon mewakili PN tersebut bukan isu besar yang boleh membawa kepada sebarang perpecahan,” kata Hashim kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, kedua-dua parti dalam gabungan PN tersebut berhak untuk berunding mengenai calon yang sesuai.

“Kita yakin pimpinan tertinggi dua parti ini akan atasi perkara tersebut. Ikut pertimbangan dan kesediaan parti-parti masing-masing siapa yang dilihat lebih layak untuk diketengahkan sebagai calon.

“PAS juga sentiasa bersedia jika diberi peluang mengenengahkan calon di Nenggiri,” ujarnya lagi.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, BERSATU bersedia untuk meletakkan calon yang sesuai bagi bertanding bagi kerusi DUN Nenggiri pada PRK tersebut.

Muhyiddin dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana kerusi tersebut adalah milik BERSATU ketika ditemui Harakahdaily semasa kempen PRK Sungai Bakap baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos, dengan penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.

Kerusi DUN Nenggiri dikosongkan selepas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian dalam BERSATU pada 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat setelah DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun.

Menurut Hashim, PRK Nenggiri sekali gus menjawab persoalan bahawa mana-mana ADUN yang lompat parti akan hilang jawatan sebagai wakil rakyat dan membawa kepada PRK. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

Ulasan