Selepas ini sudah boleh lompat parti?

Selepas ini sudah boleh lompat parti?
July 12, 2024

Share
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ditanya sama ada keputusannya tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan akan menjadi ‘duluan mengikat’ terhadap apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang.


Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengajukan perkara itu sewaktu membahaskan Peraturan Mesyuarat 99 berkaitan keputusan Speaker yang dibangkitkan sebelum itu oleh Dato’ Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran).

“Sekiranya selepas ini ada lagi cross the floor ataupun cross support yang berlaku sama ada daripada sini ke sana, ataupun daripada sana ke sini, ataupun enam orang lagi ke sini.

“Adakah itu merupakan satu ‘duluan mengikat’ kepada Yang Berhormat Tan Sri dalam kes-kes yang akan berlaku di masa akan datang? Mohon penjelasan petua daripada Yang Berhormat Tan Sri,” katanya.

Johari pada Rabu telah membuat keputusan bahawa keenam-enam Ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak perlu mengosongkan kerusi dan kekal sebagai Ahli Parlimen.

Bersatu sebelum itu telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerusi enam Ahli Parlimen mereka telah kosong atas alasan mereka telah ‘terhenti dari menjadi ahli parti’ kerana beralih sokongan.

Takiyuddin turut merujuk kepada hansard Parlimen sewaktu pindaan Perlembagaan Persekutuan terhadap isu lompat parti dibuat berkaitan dengan terma ‘terhenti menjadi ahli parti’.

Katanya, Menteri Undang-undang pada waktu itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak ditanya oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkaitan dengan situasi ‘terhenti daripada menjadi ahli parti’.

Dalam perbahasan itu, katanya, Anthony Loke meminta penjelasan Wan Junaidi kepada seseorang itu melanggar keputusan parti dan dalam perlembagaan partinya mengatakan bahawa kalau seseorang itu melanggar keputusan parti keanggotaannya akan terlucut adakah itu dianggap sebagai bertukar parti.

“Dijawab oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Junaidi ‘Ianya ada ya, benar, itu adalah satu cease to be a member’ dan ianya adalah terlucut daripada keanggotaan Dewan Rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ulasan