Siapa yang betul-betul disengsarakan, dimangsakan?
SAYA tidak suka hanya berhujah tanpa beraksi. - Syed Saddiq ketika ditemubual Utusan Malaysia. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Oleh ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID
15 Julai 2024, 8:00 am
MUKADIMAH
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN kembali menjadi percakapan ramai terutama selepas melakukan larian sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen sebagai tanda protes terhadap kerajaan.
Protes itu ekoran beliau dinafikan peruntukan bagi Parlimen pembangkang, meskipun sudah mengutuskan tiga surat dan dua kali perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto, FARIZ RUSADIO di Parlimen baru-baru ini, bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu memberitahu, dia mahu buka mata akan `tindakan dilakukan kerajaan ketika ini yang hanya lebih membebankan rakyat’.
Tekad Syed Saddiq, 32, dia tidak akan sesekali berganjak dari menjadi pembangkang yang mahu melakukan semak dan imbang selain kekal berhujah demi kebaikan negara.
PERUNTUKAN YANG DINAFIKAN
Untuk menjadi kerajaan yang adil, peruntukan ke kawasan Parlimen perlu diagihkan secara adil dan saksama. Jika di kawasan Parlimen kerajaan sepenggal, wakil rakyat dapat minimum RM20 juta, dengan RM4 juta bagi setiap tahun. Sabah dan Sarawak lebih lagi kerana kawasan yang lebih besar dan lebih ramai orang susah. Tetapi hari ini sehingga masa ini kawasan Parlimen pembangkang tidak diperuntukkan satu sen pun.
Ini berbeza ketika era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdana Menteri kesembilan) di mana selepas rundingan, ia (peruntukan) diberikan secara adil. Masa itu antara RM3.8 juta hingga RM4.5 juta setahun bergantung lokasi sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.
Saya ingat tahun lepas sama ada September atau Oktober, apabila saya bangkitkan isu peruntukan Parlimen yang adil ini, Perdana Menteri memberi jawapan runding.
Selepas Perdana Menteri berucap, beliau minta saya berjumpa Timbalan Perdana Menteri, saya terus hubungi Fadillah dan beliau bersetuju untuk berjumpa. Dalam perjumpaan itu saya kata saya bersedia untuk berunding dan tanda tangan MoU (memorandum persefahaman).
Masa itu Fadillah kata akan bangkitkan isu ini ke perhatian Perdana Menteri. Lepas itu tiada apa-apa perkembangan. Penggal pertama Parlimen tahun ini, bila tiada pengumuman, saya jumpa lagi Fadillah untuk bertanyakan perkembangan dan beliau kata tiada masalah cuma perkara ini perlu mendapatkan pengesahan Perdana Menteri.
Saya kata okey, apa lagi saya perlu lakukan? Beliau kata tunggu dulu. Kemudian saya hantar tiga surat. Ini bermakna dua perjumpaan fizikal dan tiga surat yang diutuskan dan sampai ke hari ini masih RM0. Dan ini saya lakukan seorang.
Kalau dalam rundingan, contoh mereka letakkan syarat seperti tidak boleh bicara tentang isu 3R ( agama, raja dan kaum), tetapi ini tidak dimaklumkan kepada saya. Kalau beritahu saya, yang mana saya boleh akur selagi berperlembagaan, tidak menjejaskan pendirian politik dan rakyat di kawasan saya, tiada masalah tetapi perkara ini tidak pernah dikongsikan. Ini sudah setahun tunggu.
HUJAH TANPA AKSISYED Saddiq ketika ditemu bual oleh wartawan Utusan Malaysia, Zulki i Jalil dan Aqilah Mior Kamarulbaid baru-baru ini.
Saya tidak suka hanya berhujah tanpa beraksi. Sama sahaja semasa musim Covid-19, lama saya desak-desak. Apabila tiada bantuan, saya buat cabaran botak, kelas tuisyen dalam talian dengan yuran sebanyak RM200 bagi lima kelas. Ketika itu lebih 1,000 orang mendaftar, dapat RM200,000. Saya pergi berniaga dalam talian. Saya ingat masa itu, peliklah ahli Parlimen pergi studio Shopee, jual barang seperti kurta untuk kumpul dana, dapatlah juga antara RM40,000 ke RM50,000.
Saya buat pelbagai perkara sama juga kali ini, daripada tidak dapat apa, baik saya beraksi dalam Langkah Muar untuk raih dana bagi pusat khidmat Parlimen kerana mungkin ramai orang tidak tahu di kawasan pembangkang, bukan setakat bantuan pembangunan atau kebajikan asas, tetapi yang akhirnya terpaksa menggunakan duit gaji sendiri ataupun melalui bantuan kawan-kawan atau keluarga.
Mungkin ada orang kata, gaji ahli Parlimen berjumlah RM16,000.
Bayangkan ahli parlimen perlu bayar duit pejabat, dalam masa sama mesti ada minimum tiga orang pekerja. Jika tidak, bagaimana pejabat dibuka.
Jangan lupa kita perlu kerja di Parlimen juga, perlu ada pegawai penyelidik. Semua ini kalau lazimnya berada di kawasan Parlimen kerajaan akan dapat RM300,000 untuk tujuan pembayaran pekerja, sedangkan pembangkang RM0.
SEKADAR DANA TAMBAHAN?
Saya menerima jawapan balas oleh Menteri Wilayah mengenai peruntukan Parlimen, yang mana ia bukan tanggungjawab kerajaan kerana akhirnya ini hanya merupakan dana tambahan yang berada di bawah budi bicara Perdana Menteri.
Saya beri contoh, semasa zaman pentadbiran BN (Barisan Nasional), mereka anggap ahli pembangkang tidak wujud, mereka salurkan kepada wakil parti sama ada UMNO, MCA atau MIC, atau dipanggil penyelaras parti di sesuatu kawasan. Kalau ada disalurkan, kita kenalkan siapa penyelaras tersebut.
Contoh kalau hari ini ada, dia nak nafikan kewujudan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, dia mahu salurkan kepada wakil parti mereka, siapa wakil parti tersebut? Bila orang datang jumpa saya, mereka perlukan susu, lampin pakai buang, saya boleh cakap peruntukan Parlimen sudah disalurkan kepada individu ini.
Sekarang ini, saya pun tidak tahu, apabila saya bertanya siapa penyelaras Parlimen? Dia tidak jawab pun bahagian itu. Dan akhirnya, orang Muar dinafikan peruntukan RM20 juta dan ini bukan perkara kecil.
Di Muar, ramai orang yang bersara, golongan susah dan uzur. Mereka bukan hanya perlukan kerusi roda sahaja, lagipun kerusi roda ini sekali beri, saya boleh cari jalan, tanya kawan-kawan yang boleh bantu tetapi mereka perlu bantuan bulanan seperti susu formula yang harganya tidak murah dan hanya boleh bertahan dua hari. Satu tin kecil berharga RM99.
Itu sahaja sebulan mencecah RM1,500. Tidak termasuk perkara lain seperti lampin pakai buang yang perlu saya belikan.
Contoh, jika kerajaan kata kita salurkan kepada agensi seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tetapi JKM pun tiada peruntukan itu. Bila saya minta rujuk ke agensi, mereka kata tiada peruntukan minta suruh tanya pejabat ahli Parlimen. Sebab itu saya rasa ini sangat bermasalah.
Mereka ini tidak berpijak di bumi nyata. Akhirnya siapa yang betul-betul disengsarakan atau dimangsakan apabila menafikan peruntukan kawasan Parlimen pembangkang…rakyat!
UNIT PENYELARASAN PELAKSANAAN
Mereka ini pun sebenarnya tidak faham, duit itu tidak pergi ke akaun saya dan majoriti peruntukan pembangunan perlu memohon di sistem Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya akan isi maklumat berapa anggaran kos, kenapa ia keperluan. Yang memohon ketua kampung.
Jika diluluskan, yang akan pilih kontraktor, bukan saya. Ia akan kembali semula ke Pejabat Daerah. Tanggungjawab saya cuma ‘menjambatankan’ rakyat dengan kewangan di Putrajaya.
TIDAK TAKUT DIAUDIT
Kalau kerajaan mahu audit 100 peratus, sudah ada sistem ICU. Mereka boleh tengok rekod Muar. Setiap tahun kita akan dapat kad laporan prestasi pembelanjaan. Muar ini, A++, 99 peratus lengkap dengan semua dokumentasi kita hantar, sebab itu saya tidak takut.
Saya boleh katakan bukan setakat peruntukan kerajaan yang dapat prestasi A++ oleh kerajaan sendiri tetapi peruntukan dari sumbangan yang kita dapat. Muar adalah pusat khidmat rakyat Parlimen pertama di Malaysia yang panggil Ernst & Young (E&Y), firma juru audit untuk laporan tatakelola kewangan yang baik. Padahal tidak perlu buat pun, ini bukan duit kerajaan tetapi saya kata tidak mengapa, kita letak standard baharu. Jadi kita lakukan perkara-perkara tersebut. Laporan itu dijadikan rujukan bagaimana kita mahu lakukan perkara baik.
Saya sudah buat semua itu untuk pastikan bahawa kebajikan di kawasan Parlimen saya dijaga tetapi sampai ke hari ini, masih belum ada jawapan balas.
Sebaik sahaja kita berada di kerusi pembangkang, kita tidak lagi boleh akses ICU, mohon pun tidak boleh. Sekurang-kurangnya bagilah hak untuk memohon. Hak itu pun dinafikan, bayangkan.
POLITIK DENDAMKAH?ISMAIL SABRI YAAKOB
Saya tidak rasa ini daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak boleh bayangkan kerana lazimnya orang yang sudah melalui kesengsaraan yang begitu lama, dikhianati oleh kawan-kawannya, ditikam belakang, serangan-serangan peribadi yang saya sendiri tidak setuju ke atas beliau dan keluarganya dulu. Beliau pun tahu bagaimana rasa peruntukan pembangkang dinafikan.
Selalunya apabila orang sudah lalui kesengsaraan tersebut dan bila berada di kedudukan berkuasa, mereka tidak akan buat perkara sama. Saya tidak boleh bayangkan yang itu Perdana Menteri tetapi mungkin orang yang menasihati beliau, orang di sekelilingnya. Tidak tahulah mungkin sabotaj atau apa. Saya tengah cuba bersangka baik, sehusnuzon yang boleh sebab saya sudah cuba sebaik mungkin.
Perdana Menteri kata mahu gunakan contoh zaman Bera. Masa zaman Bera, saya berjumpa Ismail Sabri secara peribadi dan saya tidak akan lupakan. Ismail Sabri sangat terbuka, (saya tanya) bolehkah saya tandatangan MoU? Selepas berjumpa dan berunding secara peribadi, Ismail Sabri luluskan sebab itu masa diluluskan berbeza.
Tadi (pada Selasa, 9 Julai) Perdana Menteri umumkan prasyarat baharu, perlu bergerak sebagai satu rundingan melalui wakil, bukan berasingan. Saya wakil Muda (Parti Ikatan Demokratik Muda). Saya seorang sahaja wakil Muda dalam Parlimen ini tetapi mereka kata perlu melalui ketua pembangkang juga.
Saya terus pandang belakang, betul-betul di belakang saya ada enam ahli Parlimen lain yang sudah dapat peruntukan, mereka tidak melalui ketua pembangkang pun.
Banyak benda yang tidak konsisten. Saya pun pelik juga tetapi tidak mengapalah selagi saya husnuzon. Saya mahu guna jalan yang betul. Saya akan utus satu surat lagi kepada Perdana Menteri untuk merayu dengan sikap keperikemanusiaannya untuk membantu orang susah di kawasan Parlimen saya.
MENGAPA TIDAK SOKONG SAHAJA PM?
Sebab itu dalam bab ini, ia ada perkara yang sangat spesifik. Dalam bab untuk pastikan kestabilan kerajaan dan negara, saya tiada masalah. Dan saya sudah konsisten perkara ini daripada dulu.
Apabila Langkah Sheraton berlaku (Februari 2020), sebelum parti lain terfikir nak buat MoU, saya sudah awal-awal cadangkan untuk membuat Perjanjian Kestabilan Kerajaan (CSA). Saya sudah gagaskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin awal-awal.
Kemudian saya berjumpa Anthony Loke, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Yang Dipertua Dewan Rakyat (ketika itu), Tan Sri Azhar Azizan Harun sebab selalunya perjanjian itu akan dibuat melalui Parlimen yang merupakan institusi demokrasi.
Rundingan itu berlaku di rumah saya dan kita dapat kata sepakat. Cuma ia ambil masa agak lama untuk diluluskan. Disebabkan itu, saya buat misi untuk raih dana kerana tunggu lama-lama pun tidak akan dapat apa-apa.
Hanya pada detik-detik terakhir, barulah Muhyiddin tawarkan dalam satu sidang media, iaitu beberapa hari sebelum kerajaannya tumbang.
Sebab itu ketika zaman Ismail Sabri, tidak mahu buat kesilapan sama, kita buat cepat-cepat dan alhamdulillah beliau setuju.
HURU-HARA KERANA ‘POLITIK 80AN’?SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga dari kiri) sewaktu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dari penubuhan parti itu pada 2016 sehingga dipecat pada 28 Mei 2020 kerana enggan duduk di bangku kerajaan dalam Dewan Rakyat, yang ketika itu diketuai Perdana Menteri kelapan dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saya memang letakkan harapan yang tinggi kepada barisan pelapis daripada semua parti kerana berharap dengan adanya barisan pimpinan pelapis, bolehlah ada situasi politik baharu tanah air. Pemimpin yang sudah berusia ini kadang kala banyak beban emosi ataupun zaman silam yang dipenuhi rasa marah kepada pemimpin ini dan itu. Saya harap barisan pelapis ini tidak ulangi kesilapan sama.
Saya lihat dalam setiap parti memang ada pemimpin-pemimpin muda yang baik dan berbakat. Jangan hanya kerana berbeza parti, kita terus nafikan bakat mereka kerana realiti untuk jadikan Malaysia negara yang maju perlukan kesatuan walaupun ada perbezaan.
Sebab itu cadangan saya bila sudah ada di kerusi kuasa, lupakan dendam yang lepas. Kalau tidak, negara tidak boleh maju. Ini kerisauan saya apabila situasi hari ini jauh berbeza. Kalau dulu boleh salam secara terbuka, kita hanya bergaduh dalam Dewan, bila ke tempat makan, semua bersalaman, sekarang sudah kurang.
Bila saya berjumpa ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, orang kata mana boleh jumpa, kemudian serang saya. Kenapa tidak boleh? Sepatutnya ini budaya yang patut kita raikan. Ini saya sangat risau kerana sudah terlalu banyak serangan peribadi dan dendam itu sudah terlalu kuat sehingga untuk bertentang mata pun dah susah.
Ia menyebabkan kitaran balas dendam akan berterusan. Hari ini kamu berada di atas, tetapi esok kalau ditakdirkan Allah kamu berada di bawah, dan kamu pula ditekan, seperti mana kamu tekan lawan ketika ini. Tidak akan habis budaya kitaran balas dendam ini dan bagaimana negara ingin maju? – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan