Speaker kekalkan 6 ‘MP Lompat’: Kerajaan Madani bakal tumbang

Speaker kekalkan 6 ‘MP Lompat’: Kerajaan Madani bakal tumbang
July 12, 2024

Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: “Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat keputusan mengekalkan enam Ahli Parlimen (MP) yang melompat dan menukar pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat bakal menumbangkan Kerajaan Madani dan Perdana Menteri itu sendiri.”

Itu penegasan yang diutarakan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa sambil berkata, keputusan tersebut akan memberi kebenaran pada bila-bila masa kepada semua Ahli Parlimen membuat pendirian dan sikap menyokong mana-mana Ahli Parlimen menjadi Perdana Menteri yang boleh membawa kepada perubahan dan tumbangnya sesebuah kerajaan pada bila-bila masa.

“Sekiranya ada pakatan dan persetujuan ahli parlimen yang mempunyai lebih 112 daripada jumlah 222 Ahli Parlimen, maka Perdana Menteri baharu boleh dilantik dan boleh berlaku perubahan kerajaan pada bila-bila masa juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan Speaker itu membuka semula peluang kepada semua Ahli Parlimen membuat perubahan sikap.

“Dahulunya disekat oleh akta lompat parti, tetapi sekarang ini akta itu tidak terpakai lagi sebagaimana keputusan Speaker.

Ahli Parlimen sudah bebas membuat dan menentukan pendirian pendirian mereka dan tidak terikat lagi dengan keputusan parti.

“Sebelum ini pun akta ini dipersoalkan kerana menyekat kebebasan Ahli Parlimen dalam menentukan sokongan kepada pelantikan Perdana Menteri,” jelasnya.

Selepas ini semua Ahli Parlimen, ujar beliau, mempunyai hak mereka yang bebas bagi menentukan siapa Perdana Menteri tanpa rasa takut kerusi dikosongkan.

“Akta lompat parti sudah tidak berfungsi lagi dan boleh dinyahkan warta sebagai akta yang sudah mati,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

Ulasan