Sudah lama penduduk Nenggiri tunggu ADUN baharu
July 15, 2024
GUA MUSANG: Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong kerana didapati berlaku perlanggaran Akta Anti Lompat Parti diangggap mampu mengembalikan semangat demokrasi.
Malangnya penduduk di DUN Nenggiri menganggap keberanian Mohd Amar gagal dijejaki Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor.
Kekosongan kerusi DUN Nenggiri sebenarnya sudah lama ditunggu kerana bekas ADUN Mohd Azizi Abu Naim didakwa tidak cakna terhadap masalah rakyat.
Kata mereka, selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas bekas ADUN terbabit sukar dilihat kelibatnya di kampung-kampung.
Nik A Rahman Nik Wan
Warga emas dari Kampung Bertam Baru Nik A Rahman Nik Wan, 78, berkata, bekas ADUN terbabit pernah menjanjikan hendak sembelih lembu bagi jamuan penduduk kampung bagi meraikan kemenangannya.
Katanya, janji tersebut disebut sendiri pemimpin terbabit selepas menang pada PRN lepas.
“Ketika memberitahu perkara itu kepada kami semasa berkunjung ke Pejabat Pusat Khidmatnya di Gua Musang, dia meminta PAS Cawangan Bertam Baru menetapkan tarikh untuk majlis kesyukuran.
“Kami memberitahu bersedia pada bila-bila masa dan meminta tarikh program daripada bekas Adun terbabit. Malangnya sampai ke hari ini janji itu tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada PRN15 Mohd Azizi yang mewakili Bersatu menang di DUN Nenggiri mengatasi bekas penyadang daripada Umno Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.
Gugur ADUN
Bagaimanapun kedudukannya sebagai ADUN digugur selepas mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, yang dianggap bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti.
Fasal (3)(a) di bawah Perkara 49A menjelaskan seseorang ahli selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota parti politik, dia melepaskan keanggotaan parti politik itu atau tidak lagi menjadi menjadi anggota parti politik itu maka hendaklah mengosongkan kerusi tersebut.
Nik A Rahman yang juga Ketua PAS Cawangan Bertam Baru berkata, Sekolah Kebangsaan Bertam merupakan sekolah pertama diwujudkan kerajaan di Gua Musang iaitu pada tahun 1948.
Nik A Rahman Nik Wan
Penghulu Mukim Bertam Baru, Mohd Osman Mustafa turut mendakwa bekas ADUN Nenggiri tidak datang bertanya penduduk kampung ketika banjir melanda tahun lepas.
Kata beliau, penduduk terpaksa berusaha sendiri dengan mendapat bantuan banjir disalurkan kerajaan negeri atas inisiatif pihak lain.
“Kita tahu wakil rakyat sibuk, namun wakilnya tidak nampak batang hidung ketika penduduk berdepan dengan musibat banjir,” ujarnya.
Menurutnya juga alasan Mohd Azizi menyokong perdana menteri bagi mendapat peruntukan untuk membantu rakyat tidak boleh diterima kerana sebagai ADUN kerajaan dia diberi peruntukan oleh kerajaan negeri.
“Alasannya menyokong perdana menteri kerana mahu mendapat peruntukan kerajaan sekadar alasan politik bagi kepentingan diri dan bukannya untuk rakyat di DUN Nenggiri,” katanya.
Rizwadi Ismail
Ketua Penyelaras Belia DUN Nenggiri, Rizwadi Ismail berkata, beliau pernah disenarai sebagai saksi kes petisyen Mohd Azizi bagi kerusi parlimen Gua Musang.
Katanya beliau berusaha mencari faka bagi membuktikan dakwaan pempetisyen daripada Umno kononnya berlaku sogokan pengundi oleh calon Perikatan Nasional (PN) tidak berasas.
Kata beliau usahanya bersusah payah membantu Mohd Azizi berdepan dengan petisyen tidak memberi sebarang makna selepas dia sendiri menyokong kerajaan Madani. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan