Tak sempat nak ‘back up’ di Sungai Bakap



Tak sempat nak ‘back up’ di Sungai Bakap
July 8, 2024


AKHIRNYA rakyat Sungai Bakap menyatakan pendirian mereka. Mereka malah menggandakan suara sokongan mereka kepada PN berbanding tahun 2023 dahulu yang Dun mereka bukan lagi kubu kuat PHBN. Sudah penat rakyat berharap kepada janji-janji yang tidak lagi menggiurkan nafsu mereka.

Mengenengahkan calon yang dikatakan kem mereka sebagai mempunyai ‘wow factor’ yang hebat dengan memiliki ijazah kedoktoran, bakal mudah menumbangkan Abang Abidin dalam pertembungan satu lawan satu itu. Dikutuk dan dihina calon PN daripada PAS yang kononnya tidak mempunyai apa-apa kelulusan selain hanya mampu menjadi imam.

Dihamburkan pula fitnah berkenaan allahyarham Nor Zamri Latif yang dituduh tidak pernah membawa isu air ke Dun. Fitnah itu dilemparkan oleh seorang pimpinan yang mengamalkan undang-undang yang mewakili PH di Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Lalu keluarlah video ucapan allahyarham berkenaan permasalahan air di Dun Sungai Bakap. Kalau yang tahu undang-undang dalam PH pun gagal menunjukkan contoh yang baik, anak buah mereka, apatah lagi.

Tidak cukup dengan itu, Zahid yang sekarang dimarahi oleh ahli Umno kerana kekalahan ini, membuat janji-janji untuk diberikan kepada penduduk Sungai Bakap jika calon PH menang. Bila PH buat, itu bukan RASUAH, tapi nak bagi rakyat RASALAH.

Sedang dahulu mereka membuat petisen kepada kemenangan PAS di Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang kerana didakwa merasuah pengundi walaupun program bantuan kepada rakyat itu telah diluluskan dalam Bajet 2022 dan tarikhnya diputuskan sebelum Parlimen di bubarkan.

Akan tetapi ada sesuatu dalam kempen PH yang menghairankan kita. Mengutuk ulamak acara wajib mereka, ia memang menjadi salah satu acara tetap mereka. Yang menghairankan ialah, tidak timbul pula wajah-wajah pengutuk ulamak yang senior dari PH.

Ke mana perginya Miqdad atau Zuliadin, pemain utama dan tetap dalam membelasah ulamak PAS? Tugasan itu dilihat telah diambil oleh beberapa muka baharu yang datang dari PKR. Jelas PKR sudah berjaya merekrut beberapa muka baharu untuk diketengahkan.

Tiada diketahui nasib kedua pengutuk ulamak senior dalam PH itu. Mungkin sudah tumpul serangan mereka atau tidak menepati piawaian menyerang ulamak. Ketinggalan zaman, mungkin? Sedangkan mereka dilihat oleh penyokong PH menjadi rujukan utama dalam hal agama. Tiada kelihatan mereka dalam kempen.

Dan yang agak memenatkan pengutuk ulamak junior dari PKR ini ialah bagaimana mereka terpaksa pula menghalakan muncung senjata mereka ke arah Ketua Pemuda Umno sekarang, kerana penghinaan KP Umno itu kepada Raja Formula dari PKR.

Serangan mereka terhadap ulamak ketika berkempen dahulu tidak dibalas oleh PAS, bak kata pepatah arab, biarkan anjing terus menyalak, kabilah tetap berlalu.

Ironinya tiba-tiba serangan balas datang dari dalam kem mereka sendiri. Keadaan menjadi kecoh. Agak menarik kerana boleh kita membeli ‘pop corn’ setelah penat berkempen. Kita berehat, sambil menunggu episod seterusnya kesudahan gomolan sesama mereka. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

Ulasan