Tempat mayat Nur Farah Kartini ditemukan dipercayai lokasi utama kejadian bunuh

Tempat mayat Nur Farah Kartini ditemukan dipercayai lokasi utama kejadian bunuh

Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K9) turut membantu bagi pencarian barang bukti milik mangsa bunuh Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, di sini hari ini. Gambar M. FIRDAUS M. JOHARI

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
17 Julai 2024, 3:16 pm

HULU SELANGOR: Polis percaya kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini adalah lokasi utama (primary scene) berlakunya pembunuhan Nur Farah Kartini, 25, selepas dilaporkan hilang pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.

“Kita percaya ia berlaku di sini (Kampung Sri Kledang) dan dilakukan suspek seorang.

“Daripada siasatan polis, kita tahu mereka kenal satu sama lain namun sejauh mana hubungan itu masih dalam siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, kita tidak boleh lagi, keputusan terlalu awal,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein memberitahu, penahanan lelaki berusia 26 tahun itu pada 15 Julai lalu membawa kepada penemuan mayat Nur Farah Kartini di lokasi kejadian.

“Suspek kita tahan, siasat dan membawa kepada penemuan mangsa dan beberapa barang bukti.

“Suspek kini direman tujuh hari, kita mungkin akan sambung dan selalunya secara tidak langsung dia akan ditahan kerja,” katanya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan pertelingkahan antara suspek dengan mangsa sebelum dibunuh.

Media semalam melaporkan, suspek dipercayai membunuh Nur Farah Kartini,25, merupakan teman lelakinya.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 11 Julai lalu, mangsa dilaporkan mangsa hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.- UTUSAN

Ulasan