UMNO perlu muhasabah diri sedalam-dalamnya
BARISAN tertinggi pemimpin UMNO perlu muhasabah diri dan berhenti menjadikan individu tertentu sebagai kambing hitam.
Oleh Mohd. Afifi Abdul Razak
18 Julai 2024, 8:30 am
MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian sedang berlangsung dengan hangat di seluruh negara dari 21 Jun lalu hingga 29 Julai depan manakala Perhimpunan Agung UMNO 2024 pula akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos depan.
Dalam kehangatan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian sekarang, timbul kembali tuduhan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Perdana Menteri sengaja melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dakwaan yang dibuat ialah Ismail Sabri sengaja melengah-lengahkan pembubaran Parlimen sehinggalah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berjaya dihumban ke penjara dan ekoran kelengahan ini UMNO-BN kalah teruk.
Satu lagi dakwaan yang timbul ke atas Ismail Sabri ialah beliau tidak melakukan apa-apa untuk membantu membela Najib dari dimasukkan ke dalam penjara malah bersekongkol dalam memastikan Najib dihumban ke penjara.
Semua dakwaan ini adalah palsu. Sebab mengapa Ismail Sabri tidak membubarkan Parlimen lebih awal ialah kerana sebagai Perdana Menteri beliau mendapat laporan dari semua agensi perisikan yang menyatakan UMNO-BN akan kalah.
Agensi-agensi perisikan itu termasuklah Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Perisikan Tentera (MIO) dan Bahagian Penyelidikan (RD) Jabatan Perdana Menteri yang kesemuanya menjangkakan kekalahan UMNO-BN.
Dalam satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dilangsungkan sejurus sebelum Parlimen dibubarkan, Ismail Sabri memberitahu semua yang hadir jika PRU15 dibuat waktu itu BN hanya akan menang 35 kerusi sahaja.
Pemakluman Ismail Sabri ini disokong oleh dapatan Sistem Informasi Jalinan Rakyat yang dibangunkan oleh Wanita UMNO Malaysia yang meramalkan bahawa jika PRU15 dibuat waktu itu BN hanya akan menang tidak lebih daripada 40 kerusi.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tetap berkeras mahu PRU15 dilakukan waktu itu juga dengan alasan bahawa UMNO-BN boleh menang dan kembali menerajui kerajaan selepas itu secara bersendirian.
Dalam satu hantaran Facebook pada 4 Ogos 2022, Ahmad Zahid menegaskan PRU15 perlu diadakan seawal mungkin kerana kerajaan yang kuat dan stabil diperlukan untuk fokus kepada isu rakyat dan membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi.
Dalam satu lagi hantaran pada 20 Ogos 2022, Ahmad Zahid menggunakan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO-BN akan menang besar kerana pembangkang sedang berpecah-belah untuk mendesak Ismail Sabri segera membubarkan Parlimen.
Atas arahan Ahmad Zahid, Mesyuarat MKT UMNO pada 30 September 2022 pun memutuskan bahawa pembubaran Parlimen hendak dilakukan dalam masa terdekat dan Perdana Menteri hendaklah mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ternyata laporan agensi-agensi perisikan, dapatan Wanita UMNO Malaysia dan jangkaan Ismail Sabri sendiri tepat akhirnya kerana setelah Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 dan PRU15 berlangsung pada 19 November 2022, BN hanya menang 30 kerusi.
Sebab itulah setelah Datuk Seri Ahmad Maslan menyalahkan Ismail Sabri kerana lewat membubarkan Parlimen sebagai punca kekalahan BN, Ismail Sabri memulangkannya kembali dengan berkata Setiausaha Agung UMNO waktu itulah punca sebenar kekalahan BN.
Ini kerana Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO hanya sekadar membuat andaian mudah berlandaskan logik akal beliau sahaja tanpa membuat kajian sikap secara komprehensif dan tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN.
Kelewatan Ismail Sabri membubarkan Parlimen juga tidak ada kaitan dengan kemasukan Najib ke dalam penjara kerana pertimbangan Ismail Sabri hanyalah semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas Malaysia terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara telah mula menunjukkan hasil di mana ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara, dan ia sepatutnya diteruskan bagi mendapatkan lebih sokongan kepada BN.
Kes SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Najib pula telah dimulakan di zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 dan pada 8 Ogos 2018 manakala perbicaraan bermula pada 3 April 2019.
Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib pula dijatuhkan di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Najib dijatuhkan hukuman ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, pada 28 Julai 2020.
Apa yang berlaku ke atas Najib di zaman Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri adalah kes rayuan sahaja. Apabila sesuatu hukuman telah dijatuhkan, maka memang amat sukar untuk mana-mana pihak campur tangan lagi ke atas perjalanan kes itu di peringkat rayuan.
Adalah tidak munasabah kalau Ismail Sabri mengarahkan hakim untuk menggugurkan kes Najib di peringkat rayuan. Pasti seluruh dunia akan mengecam Malaysia jika perkara ini dibuat dan keyakinan masyarakat dunia kepada sistem kehakiman Malaysia pasti terjejas teruk.
Alasan UMNO perlu menang PRU15 supaya Najib boleh dibebaskan menambahkan lagi kebencian rakyat kepada UMNO dan menyebabkan UMNO semakin ditolak oleh rakyat kerana persepsi rakyat ialah UMNO akan menyalahgunakan kuasa jika ia berkuasa.
Malah sebenarnya persepsi rakyat bahawa UMNO akan campur tangan dan menggunakan kuasa dalam semua perkara, termasuk untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan Najib, inilah menjadi salah satu punca UMNO-BN mengalami kekalahan teruk dalam PRU15.
Kepemimpinan UMNO perlu muhasabah diri dan berhenti untuk menjadikan individu tertentu sebagai kambing hitam. – UTUSAN
MUHAMMAD Afifi Abdul Razak adalah seorang penganalisis politik Malays
Ulasan
Catat Ulasan