160,000 individu masih dibelenggu muflis



160,000 individu masih dibelenggu muflis

SEBANYAK 159,781 kes kebankrapan belum dilepaskan daripada status muflis setakat Julai lalu.
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
20 Ogos 2024, 8:00 am

PUTRAJAYA: Sejumlah 159,781 kes kebankrapan belum dilepaskan daripada status muflis setakat Julai lalu.

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, M. Bakri Abd. Majid berkata, faktor utama menghalang kes bankrap daripada dibebaskan ialah kegagalan memberi kan kerjasama kepada jabatannya dalam
mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Menurut beliau, ini meliputi keperluan mengemukakan senarai liabiliti, melengkapkan borang statutori seperti Pernyataan Hal Ehwal (PHE) serta borang Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan selama enam bulan.

Dalam mempertimbangkan permohonan pelepasan ini, tambah beliau, antara perkara dinilai adalah alasan permohonan, peratusan dividen boleh dibayar serta kerjasama dan sikap orang yang
muflis sepanjang pentadbiran kes.

“Kegagalan individu bankrap dalam memberikan kerjasama yang baik kepada jabatan ini, pemiutang mempunyai hak untuk membantah permohonan pelepasan bukan sahaja di peringkat pertimbangan Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, malah di peringkat prosiding di mahkamah.

“Dalam hal ini adalah wajar seseorang yang diisytiharkan perintah kebankrapan perlu hadir ke jabatan ini bagi melengkapkan tugas statutori sebagai seorang bankrap,” katanya.

Muflis atau bankrap boleh diisytiharkan kepada seseorang yang gagal menjelaskan hutang dan pemiutang mengambil tindakan perintah kebankrapan di Mahkamah Tinggi dengan nilai had minimum hutang (threshold) berjumlah RM100,000 dan ke atas.

Ia antara lain berpunca daripada pengurusan kewangan lemah dan perbelanjaan tidak berhemah selain menjadi penjamin yang mana pemiutang boleh mengambil tindakan kebankrapan terhadap mereka.

Tindakan kebankrapan terhadap penjamin tersebut berlaku sebelum pindaan Akta Insolvensi 1967 pada 2017 dengan penjamin sosial diberi jaminan perlindungan secara mutlak.

Bagaimanapun, golongan tersebut berpeluang dilepaskan di bawah Dasar Peluang Kedua yang diperkenal kerajaan untuk memberi ‘nyawa’ semula kepada mereka dan kembali menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya dapat menjalani kehidupan baharu.

M. Bakri berkata, di bawah dasar berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 lalu, sebanyak 142,510 orang sudah diberi nafas baharu dan diisytihar bebas muflis.

“Dasar Peluang Kedua ini menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 atau Akta A1695 berkuat kuasa.

“Komitmen kerajaan dalam roll-out ini adalah bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pe­lepasan setiap kes bankrap bermaksud mereka dilepaskan daripada semua hutangnya yang boleh dibuktikan dalam kebankrapan.

Namun, jelas beliau, Jabatan Insolvensi Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menghalang mereka yang bebas muflis ini daripada membuat pinjaman baharu kerana ia bergantung kepada polisi institusi kewa­ngan atau bank itu sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, bukan semua peng­hutang yang dibankrapkan disebabkan pengurusan kewangan lemah dan perbelanjaan tidak berhemah tetapi berpunca daripada statusnya sebagai penjamin yang mana pemiutang boleh mengambil tindakan kebankrapan terhadap penjamin jika gagal menjelaskan hutang.

Namun, katanya, tindakan kebankrapan terhadap penjamin berlaku sebelum pindaan Akta Insolvensi 1967 pada 2017 dengan penjamin sosial diberi jaminan perlindungan secara mutlak.

Di bawah Seksyen 2 Akta 360, penjamin sosial memberi maksud seseorang yang menjamin bukan bertujuan mencari keuntungan seperti jaminan untuk pinjaman, biasiswa atau pemberian bagi pendidikan atau penyelidikan, selain jaminan bagi transaksi sewa beli kenderaan atau pinjaman perumahan hanya untuk kegunaan peribadi.

Bagaimanapun, penjamin bagi pinjaman perniagaan tidak dikategorikan sebagai penjamin sosial.

“Di bawah peruntukan Akta 360, jabatan ini memperkenalkan satu mekanisme penyelamat (rescue mechanism) iaitu perkiraan sukarela (VA) yang diwujudkan sebelum prosiding kebankrapan dengan pelantikan penama (nominee) dalam VA itu.

VA ini adalah peluang terakhir kepada penghutang untuk berunding dan mencadangkan perkiraan sukarela kepada pemiutang-pemiutang untuk mengelakkan perintah kebankrapan dijatuhkan oleh mahkamah. – UTUSAN

Ulasan