20 buah premis dibersihkan Misi Banjir Melaka KM


20 buah premis dibersihkan Misi Banjir Melaka KM
August 14, 2024


MASJID TANAH: Sebanyak 20 buah premis termasuk Klinik Kesihatan Masjid Tanah telah berjaya dibersihkan akibat banjir yang berlaku di kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Pengarah Khidmat Malaysia Masjid Tanah, Azmi Sambul berkata, itu adalah tugas-tugas yang telah diselesaikan bermula pagi kelmarin sehingga tengah hari tadi.

“Pembersihan banjir ni masing-masing kami telah buat selama tiga hari bermula Isnin lepas. Kami mula dengan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka dan ahli-ahli PAS tempatan pada Isnin.

“Kemudian pada Isnin malam tiba bantuan JAM Johor dengan kekuatan anggota seramai 17 orang, Selangor enam orang juga daripada JAM Melaka sendiri lebih kurang 20 orang,” katanya.

Tambah beliau, antara lokasi-lokasi yang terlibat dalam misi tersebut ialah sekitar Bandar Masjid Tanah, Klinik Kesihatan Masjid Tanah; Kampung Paya Lebar; Kampung Ramuan Cina Besar dan Kuala Sungai Baru.

“Insya-Allah selepas daripada ni ada lagi yang kami akan jalankan, antaranya permintaan daripada. PASTI Aliya Azzahra di Masjid Tanah yang merupakan satu-satunya PASTI terjejas dengan banjir.

“Juga ada permintaan beberapa buah biji rumah untuk pembersihan dan cucian di Alor Gajah, insya-Allah kami akan cuba ke sana dengan JAM Melaka dan JAM Wilayah Persekutuan yang dijangka tiba petang ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kesudian Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang melakukan lawatan kerja di sini, semalam bagi meninjau perkembangan misi tersebut.

“Alhamdulillah Saudara Khairul Faizi dapat bersama-sama dengan kami dalam aktiviti pembersihan mangsa banjir semalam. Beliau datang ke Kuala Sungai Baru.

“Bersama-sama beliau adalah anggota beliau dengan bersama-sama bantu kami untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Beliau mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas Ketua Pengarah KM Pusat itu yang mengarahkan bantuan dari Johor dan Selangor dalam membantu Melaka menghadapi bencana banjir tersebut.

Beliau turut berpuas hati dengan gerak kerja yang telah dijalankan semua anggota dan jentera yang terlibat dan turut mendapat pujian daripada orang ramai yang terlibat.

“Terima kasih kepada semua yang membantu terutama sahabat-sahabat dari JAM Johor dan Selangor yang datang dari jauh.

“Tidak dilupakan sahabat-sahabat anggota JAM dari seluruh Melaka yang datang ke Masjid Tanah ini untuk sama-sama membantu. Jasa anda semua terlalu besar buat orang Masjid Tanah,” katanya.

Banjir yang bermula di Bandar Masjid Tanah pada Ahad petang dan kemudiannya ‘merebak’ ke kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Masjid Tanah itu disifatkan penduduk tempatan sebagai yang terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun.

Ia turut melibatkan pembukaan sebanyak sembilan buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan mangsa tertinggi direkodkan berada di PPS ialah pada Isnin lalu iaitu seramai 419 orang.

Semua PPS dilaporkan telah ditutup sepenuhnya tengah hari tadi setelah semua kawasan dinaiki air telah pun surut dan semua mangsa terlibat pulang ke rumah masing-masing. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

share & sebarkan:

Ulasan