856,873 saman JPJ, nilai lebih RM257 juta
AEDY Fadly Ramli ketika ditemubual Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
19 Ogos 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Sebanyak 856,873 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan (kenderaan komersial) sepanjang 2023 sehingga Julai tahun ini.
Saman itu dianggarkan bernilai lebih RM257 juta, mengambil kira setiap saman sebanyak RM300. Jumlah saman itu hasil daripada pemeriksaan dilakukan terhadap 1.55 juta kenderaan barangan dalam tempoh terbabit.
Antara kesalahan dikenal pasti membabitkan tiada lesen memandu kompeten (CDL), melebihi had muatan, membawa barangan bahaya dan lain-lain.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan antara operasi dipertingkatkan pihaknya bagi menangani isu kenderaan melebihi muatan atau kemalangan membabitkan lori atau treler di jalan raya.
Katanya, daripada pelbagai operasi dijalankan, sebanyak 524,873 notis saman dikeluarkan pada 2023 manakala 332,000 lagi sejak Januari hingga Julai lalu.
Beliau berkata, jumlah itu hasil daripada pemeriksaan terhadap 1.55 juta kenderaan barangan iaitu sebanyak 989,025 buah diperiksa pada tahun lalu dan 563,053 lagi untuk tempoh tujuh bulan ini.
“Daripada 856,873 notis dikeluarkan, sebanyak 81,263 notis akibat tiada lesen memandu kompeten (CDL), 5,077 notis CDL tamat tempoh dan 123,652 notis kesalahan-kesalahan berkaitan pelesenan pemandu.
“Bagi kenderaan barangan, JPJ telah mengeluarkan kira-kira 63,686 notis akibat melebihi muatan, membawa barangan bahaya (44,439 notis), gagal mematuhi peraturan barangan (521 notis) dan lain-lain kesalahan (266,474 notis),” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, sebanyak 13,660 notis dikeluarkan bagi kesalahan utama sepanjang 2023 hingga Julai lalu.
Katanya, ia membabitkan 3,880 notis akibat menggunakan telefon bimbit; tidak memakai tali pinggang hadapan (3,866 notis); tidak mematuhi lampu isyarat (2,722 notis); menggunakan lorong kecemasan (1,374 notis); memandu di lorong kanan secara berterusan (710 notis), memotong barisan secara bahaya (648 notis) dan memotong di garisan berkembar (460 notis).
“Sebanyak 134,839 notis dikeluarkan terhadap lori atau treler membabitkan 396 notis kerana tiada lesen kenderaan Malaysia (LKM), LKM tamat tempoh (96,215 notis), tiada insurans (36,709 notis), salah guna LKM (128 notis) dan lain-lain kesalahan (1,391 notis).
“Bagi kesalahan teknikal, kira-kira 123,262 notis dikeluarkan iaitu kesalahan nombor pendaftaran membabitkan 5,660 saman, cermin gelap (313 notis), lampu (589 notis), tayar (29,060 notis), ubah suai kenderaan (10,983 notis) dan 76,657 notis lain-lain kesalahan,” ujar beliau.
Menurut Aedy Fadly, JPJ sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dari masa ke semasa bagi memantau, mengesan, dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik serta pemandu kenderaan yang melanggar peraturan.
Jelas beliau, kenderaan yang membawa lebih muatan dan melakukan kesalahan teknikal akan dikenakan tindakan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah – Kaedah di bawahnya.
“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi kesalahan lebih muatan termasuk mengambil tindakan sitaan dan lucut hak kenderaan mereka.
“Tindakan tegas ini adalah bagi memastikan pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly memberitahu, bermula hari ini, JPJ akan melanjutkan waktu operasi kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, untuk memudahkan urusan pelanggan.
Kata beliau, pertambahan waktu operasi akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kaunter akan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat di JPJ Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, manakal setiap hari Ahad dan Khamis di JPJ Johor.
Tambah beliau, JPJ juga akan menubuhkan satu Jawantakuasa Tadbir Urus bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan