Banyak masalah asas di pedalaman belum diselesaikan





Banyak masalah asas di pedalaman belum diselesaikan
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
14 Ogos 2024, 7:19 am


Pengumuman Kementerian Kewangan yang akan menyegerakan pengaktifan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Nenggiri, Gua Musang, mungkin berita yang paling menggembirakan penduduk di kawasan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Sabtu lalu menjelang seminggu sebelum penduduk di kawasan tersebut mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.
Kemudahan ATM itu mungkin isu kecil bagi sesete­ngah orang tetapi amat bermakna bagi kira-kira 30,000 penduduk di Nenggiri. Kemudahan itu merupakan ke­perluan asas yang sangat dinanti-nantikan oleh penduduk terlibat.

Apa tidaknya, jika mereka mahu menggunakan duit tunai, penduduk terlibat terpaksa pergi ke mesin yang terdekat yang terletak di Gua Musang sejauh kira-kira 50 kilometer dari Nenggiri.

ATM dan stesen minyak antara kemudahan yang diperlukan oleh penduduk Nenggiri kerana kawasan yang terperosok jauh di pedalaman itu tidak mempunyai kemudahan tersebut. Dalam dunia yang kesemuanya memerlukan wang dan bergerak dengan kenderaan menggunakan bahan api, sudah tentu dua kemudahan itu sangat membantu kehidupan mereka.

Semata-mata terpaksa ke Gua Musang untuk mengeluarkan sejumlah wang, yang pastinya bukanlah terlalu banyak pun simpanan mereka, sudah tentu ia menyukarkan kehidupan penduduk di kawasan itu.

Ketika ramai yang bercakap tentang liputan internet 5G, bangunan pencakar langit dan pelbagai gajet canggih, masih ada sebahagian penduduk yang masih menjalani kehidupan seperti tahun 1970-an.


Negara akan menyambut kemerdekaan 67 tahun pada penghujung bulan ini, namun agak malang masih ada penduduk yang tertinggal jauh ke belakang terutama di kawasan jauh di pedalaman.

Kalau di Nenggiri sahaja ada 30,000 penduduk, ba­yangkan kalau masih banyak kawasan yang tanpa kemudahan seumpama itu di tempat-tempat lain

Bagaimana keadaan seperti itu boleh berlaku? Salah pendudukkah yang enggan mengikuti perubahan? Apa pula peranan wakil rakyat dan kerajaan negeri? Apalah semuanya perlu diselesaikan oleh Kerajaan Pusat? Tidak kiralah siapapun yang memerintah, sekurang-kurang­nya perkara asas untuk penduduk yang tertinggal perlu diutamakan.­

Sampai bila perkara asas penduduk seperti kemudahan ATM, stesen minyak mahu diselesaikan? Apakah apabila ada pilihan raya kecil, baru masalah-masalah asas yang dihadapi oleh penduduk mahu diberi perhatian.

Itu baru masalah ATM, stesen minyak. Belum pelbagai kemudahan lain yang sangat diperlukan oleh rakyat seperti hospital, sekolah yang selesa dan rangkaian internet untuk pelbagai urusan.



Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Ulasan