Bencana banjir kilat: Tingkatkan waspada, siap siaga
August 26, 2024
Banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur pada Khamis, 22 Ogos 2024 menyebabkan puluhan kereta orang ramai ditenggelami air.
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari yang lalu, negara telah dilanda dengan bencana banjir kilat yang berlaku hampir di seluruh negara.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pelbagai kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan kepala air berlaku di seluruh negara sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
Menurutnya, baru-baru ini dilaporkan beberapa kejadian bencana telah berlaku antaranya adalah dilaporkan di Langkawi bahawa kejadian kepala air telah berlaku di Air Terjun Telaga Tujuh sehingga menyebabkan beberapa buah kenderaan di kawasan letak kereta rosak dan sebuah daripadanya dihanyutkan sebelum ditemukan dalam Sungai Perangin, serta mengakibatkan beberapa gerai, kedai, kafe dan tempat makan terjejas.
“Di Tanjung Malim, seramai 109 orang terperangkap dalam kejadian kepala air dan empangan pecah pada lewat petang di Slim Village, Slim River yang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Eco Park Risda, Ulu Slim serta mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
“Di Hulu Selangor pula, seramai 38 individu yang menyewa tapak perkhemahan di sini terperangkap dalam kejadian kepala air di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Rening, Batang Kali,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara menurut MetMalaysia pula, banjir kilat yang berlaku di beberapa negeri ketika kejadian disebabkan hujan lebat yang lebih kerap berlaku susulan negara memasuki fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga November; yang mana negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah membabitkan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Barat Sabah dan kawasan Barat dan tengah Sarawak.
Dalam pada itu, mengikut penelitian dalam aplikasi windy.com pula, hujan lebat akan berterusan turun dalam masa beberapa hari lagi.
Apa yang penting ketika ini, menurut Khairul, adalah keperluan semua untuk meningkatkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir kilat yang mungkin akan berlaku di mana jua lokasi yang tidak jangkakan.
Kejadian kepala air yang berlaku baru-baru ini di beberapa lokasi sehingga menyebabkan kerosakan dan kemusnahan harta benda ujar beliau adalah di luar jangkaan semua pihak khususnya pihak yang terlibat.
“Khidmat Malaysia telah meletakkan jentera Khidmat Malaysia di negeri-negeri terbabit dalam status berjaga-jaga dan bersiap siaga dengan anggota-anggota terlatih dan aset serta jentera menyelamat bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani situasi yang dijangkakan berlaku di kawasan terbabit seperti banjir dan sebagainya sekiranya diminta untuk berbuat demikian.
“Bagi memastikan gerakan membantu rakyat yang terkesan berjalan lancar, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia diaktifkan untuk membuat pemantauan tersebut.
“Masyarakat Malaysia yang prihatin disarankan untuk menghulurkan tenaga sebagai sukarelawan Khidmat Malaysia serta tidak dilupakan agar dapat menghulurkan sumbangan wang tunai mahupun barangan bantuan melalui Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia yang telah dilancarkan beberapa hari yang lalu melalui Akaun Bank Maybank (No. Akaun: 562384542866) atau Akaun Bank Islam (No. Akaun: 12225010037517). Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-57521904 (Hotline),” katanya. – HARAKAHDAILY
Ulasan
Catat Ulasan