BlackRock: Beringatlah sebelum musuh ‘pegang’
August 22, 2024
Ibu pejabat BlackRock di New York (FOTO: Jeenah Moon-Bloomberg)
APABILA datang zaman Sayyidina Umar, barulah kerajaan aman dan masalah pemberontakan telah diselesaikan dan dihapuskan oleh Sayyidina Abu Bakar. Sayyidina Umar memerintah dalam tempoh yang lama. Pada zamannya, berlaku peperangan dengan Rom dan Parsi dan disambung pada zaman Sayyidina Uthman.
Akhirnya, seluruh Semenanjung Tanah Arab jatuh dan dikuasai oleh tentera Islam sehingga ke Syam. Bumi Syam ini luas termasuk Syria, Lubnan, Palestin, Jordan dan Iraq. Di muzium lama Damsyik ada peta lama negara Islam. Besar rupanya bumi Syam yang terdapat pada peta tersebut.
Selepas itu, Syam dikuasai oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah. Syria, Lubnan dan sebagainya muncul selepas kedatangan penjajah. Penjajah menjajah bumi-bumi orang Islam. Sebelum mereka meninggalkannya, bumi-bumi yang dijajah akan berpecah. Itulah yang menyebabkan perbalahan sehingga ke hari ini.
Contohnya, Malaysia dan Thailand dipisahkan dengan Sungai Golok, diserahkan empat wilayah kepada Thailand, sedangkan wilayah tersebut ialah bumi Islam iaitu Kerajaan Patani dahulu. Palestin diberikan kepada Israel dan berperang sampai ke hari ini. Di India, subcontinent terbahagi kepada dua, separuh Pakistan dan separuh lagi India dan tidak aman sampai ke hari ini. Kashmir ditinggalkan. Inilah jahatnya taktik penjajah.
Negara kita Malaysia juga alami benda yang sama, berpecah kepada beberapa parti. Di Indonesia, partinya lagi banyak dan semua mengaku Islam belaka. Isu yang dibesar-besarkan sekarang ialah Syiah dan Sunni. Tujuannya nak suruh kita berbalah. Walaupun kita ada banyak perbezaan dengan Syiah, tetapi ia tidak sepatutnya menyebabkan kita lupa musuh kita.
Di bumi Nusantara, masalah Khilafiah timbul semula. Khilafiah adalah perancangan musuh supaya kita orang Islam berpecah. Perkara-perkara dahulu yang telah diselesaikan timbul semula dan dibesar-besarkan sehingga kita berbalah sesama sendiri. Contohnya, isu kaum muda, kaum tua, ahlu sunnah, wahabi dan sebagainya.
Semua ini akan memberikan kesan yang buruk kepada umat. Kita duk berbalah perkara yang tidak perlu kita balah. Kita lupa musuh yang sebenar. Siapa musuh kita yang sebenar? Musuh kita yang sebenar ialah penjajah Barat. Tetapi, kita lupa musuh dan berbalah sesama sendiri. Apabila musuh menyerang, kita pun sudah lembik. Inilah cara halus musuh yang kita tidak fahami.
Oleh sebab itu, janganlah terlalu taksub. Memang kita tidak bersetuju dan tidak menerima Syiah, tetapi tiada faedah duk membesar-besarkan suatu isu sehingga berbalah. dan sehingga kita lupa Barat yang tengah ‘makan’ kita seperti Amerika, Imperialis Barat dan Zionis. Tiada orang yang menolong orang Islam di Palestin. Mujurlah ada negara Syiah yang sedikit sebanyak menolong mereka. Nak harapkan orang Sunni, apa yang mereka buat?
Banyak perkara yang kita tidak fahami sehingga tidak tahu isu sebenar. Dalam Facebook, kecoh mengenai masalah Khilafiah, contohnya bab rakaat solat terawih, tahlil dan maulud. Buat apa nak kecoh? Kalau tidak mahu buat tahlil, tak payah buat. Tiada masalah pun. Sebab masing-masing ada hujah. Ulama dahulu pun ada hujahnya mengapa bersetuju untuk buat tahlil, jadi hormatlah. Jangan duk kata ‘mung aku’ sesat menyesatkan.
Kita duk berbalah, kata itu ini bid’ah, akhirnya tidak tahu ke mana kita. Tidak tahu hal yang sebenar dalam hidup. Inilah kejayaan musuh Islam yang memecahkan ummah, mengelirukan dan menghilangkan fokus kita. Akhirnya, musuh masuk secara senyap-senyap dan sedar-sedar, kita sudah tidak memiliki apa-apa lagi. Jadi, beringatlah sebelum musuh ‘pegang’.
Turkiye jatuh disebabkan oleh Lawrence of Arabia. Dihantar ke Timur Tengah untuk menghancurkan Kerajaan Turkiye. Pergi dengan semangat kebangsaan. Takkanlah orang Arab mahu duduk di bawah Turkiye. Jadi, ditiupkan semangat kebangsaan Arab. Akhirnya, negeri-negeri Arab memberontak dan melawan Kerajaan Turkiye. Isytihar merdeka. British menolongnya.
Peranan Lawrence of Arabia sangat besar sehingga memecahkan perpaduan orang Islam dan menjatuhkan Kerajaan Turkiye pada tahun 1924. Orang Arab memuja Lawrence sebab mereka telah merdeka daripada Turkiye. Atas alasan, orang Arab bangsa Arab, orang Turkiye bangsa bukan Arab tetapi Turk.
Setelah kerajaan Turkiye jatuh, kuasa politik Islam semakin berkurangan. Satu demi satu contohnya Libya, Syria dan Iraq dimatikan. Walaupun Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi ada baik buruknya, tetapi mereka bercakap mengenai agama. Tidak memberi muka kepada Israel dan Barat. Apabila semuanya telah tiada, orang kafir boleh masuk negara Islam dengan mudah. Kita yang mengaku Sunni tetapi tidak mampu membela negara Islam.
Malaysia sampai ke hari ini masih memberi saham kepada BlackRock. Syarikat kita untung besar, tiada masalah, tiba-tiba kita pergi nak jual. Ibarat kalau nak hantar anak ke hospital, ketika dia sakit. Ini tidak, anak sihat, tetapi kita yang meletakkannya di dalam wad. Bukan salah hantar ke hospital, tetapi bukankah kita menghantar hanya anak yang sakit? Ini tidak, tiba-tiba sahaja kita membawa anak yang sihat kepada doktor untuk disuntik ubat. Tidakkah pelik? – HARAKAHDAILY 22/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Ulasan
Catat Ulasan