Cabaran persediaan Muktamar Tahunan PAS ke-70


Cabaran persediaan Muktamar Tahunan PAS ke-70
August 28, 2024

Kompleks al-Makmur, Kerdau.

KUALA LUMPUR: Keterlibatan secara langsung dalam pengurusan prasarana adalah merupakan cabaran utama panitia muktamar selain menyediakam atur cara dan bahan bagi Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks al-Makmur, Kerdau, Pahang bulan depan.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun dewan Kompleks al-Makmur tersebut sudah siap, namun panitia muktamar menaik tarafnya dengan menambah baik penghawa dingin, sistem bunyi dan sebagainya.

“Kita (juga) turap jalan, malahan kepada peringkat kita menyiapkan tandas. Tandas yang agak kos yang tinggi, yang selesa untuk pengunjung.

“Kalau kita ingat pengalaman yang lepas, contohnya di Kedah dan beberapa buah negeri, kita sewa tandas bergerak. Kali ni kita bina dan siapkan tandas supaya boleh diguna sepanjang masa selepas daripada ini.

“Jadi sebab sasaran kita adalah kita nak pastikan Kompleks Al-Makmur Kerdau ini akan dapat kita gunakan bersama selepas daripada muktamar. Dalam proseslah,” ujar beliau.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

Beliau berkata demikian dalam program Bicara HD bertajuk ‘Muktamar PAS Kali Ke-70: Apakah Realiti Masa Hadapan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)?’ di Pejabat Harakah Jalan Pahang di sini, malam tadi.

Sebab itu menurut beliau, pada bulan lepas di bawah panitia muktamar atas inisiatif yang telah dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah melancarkan satu gerak kerja dipanggil ta’awun al-makmur.

“(Ta’awun al-Makmur) iaitu ahli-ahli PAS daripada seluruh negeri seminimumnya 20 orang daripada setiap kawasan turun secara giliran setiap hujung minggu untuk menyiapkan kompleks.

“Dan saya hadir baru-baru ni, hari Ahad saya ada di sana, mereka turunlah siapkan bantu adalah kontraktor yang siapkan, tapi kita membantu turaplah, alihkan pasir ke, longkang ke sebagainya.

“Maknanya kita nak supaya ahli PAS sendiri terlibat secara langsung sebagai sukarelawan untuk menyiapkan,” jelas beliau.

Cabaran seterusnya kata beliau adalah berkenaan masalah penginapan berikutan tempat muktamar yang berada di luar bandar.

“Hotel yang paling dekat adalah di bandar Temerloh, dalam 20 km. Lepas itu di Jerantut dalam sekitar perjalanan 30 sehingga 40 km.

“Lepas itu di Bandar Jengka lebih kurang 30 sehingga 40 km, dan di kawasan Kerdau itu sendiri tidak ada hotel. Homestay pun agak terhad.

“Dan berapa hari yang lepas saya cuba dapatkan maklumat daripada negeri-negeri, memang ada masih lagi banyak kawasan yang mahu dibantu bagaimana nak mencari penginapan,” terang beliau.

Tambahnya, panitia muktamar sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah penginapan tersebut.

Antara perkara yang dibuat juga, jelas beliau, sepertimana yang berlaku di Bukit Gantang baru-baru ini apabila PAS menganjurkan Hari Keluarga PAS Pusat kali pertama.

Beliau berkata di Bukit Gantang, lebih kurang 31 orang pimpinan PAS yang menginap di rumah keluarga angkat.

“Maknanya kita tak ada sewa homestay, sebahagian tidur (di) homestay, 31 ni duduk di keluarga angkat untuk kita mengeratkan hubungan pimpinan pusat dengan ahli di sana.

“Cuma di Kerdau ini ada masalah sikit buat masa inilah kerana hari (muktamar) itu adalah cuti sekolah.

“Cuti sekolah dan ada keluarga-keluarga ahli kita yang bila kita hubungi dia kata dia berminat nak pimpinan kawasan tidur situ tapi anak-anak (mereka) pun nak balik kampung juga. Jadi memang itulah cabaran yang kita hadapi di muktamar di Kerdau ni,” kata beliau yang juga Pengarah Khidmat Malaysia.

Antara yang beliau juga bimbangkan adalah laporan daripada Jabatan Meteorologi yang menyebut bahawa akan berlaku penurunan hujan yang agak lebat di sekitar kawasan muktamar selain menyemak dalam portal Windy.com. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

Ulasan